Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan memberi tumpuan khusus kepada agenda perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah merangka Blueprint Perumahan 2.0 yang bermatlamat untuk membina 28,033 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang selesa dan kondusif dari tahun 2021 hingga 2030.

"Selain itu, rangka ini juga akan menyelenggara RKAT sedia ada di seluruh negara, saya pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, justeru saya menyedari dan memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM.

"Mengambil kira jumlah anggota ATM diseluruh negara, pembinaan RKAT baharu di seluruh negara adalah satu keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed dan beberapa lagi pihak berkepentingan yang merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu agenda yang menjadi keutamaan di bawah bab pertahanan ialah agenda perumahan anggota ATM.

"Alhamdulillah, RMK-12 sudah pun dibentang dan diluluskan, saya juga umumkan bahawa menerusi perancangan lima tahun ke hadapan negara, kerajaan akan membina kira-kira 10,200 unit RKAT dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

"Penting untuk saya maklumkan, 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan,"katanya.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 unit RKAT yang bakal dinamakan khusus sebagai Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) akan dirasmikan hari ini.

"Perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh LTAT di Bukit Jalil ini sebagai RKAT dilaksanakan semasa saya menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

"Saya anggap ini sebahagian daripada langkah penting ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia. Lebih-lebih lagi, rumah yang bakal saya rasmikan hari ini, bukan rumah kosong sebaliknya dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, gymnasium, surau dan unit kedai yang mana sangat selesa dan kondusif untuk didiami,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:54 AM