Rafizi direman tiga hari bermula hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafizi direman tiga hari bermula hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman selama tiga hari terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman terhadap Rafizi sehingga Jumaat ini.

Terdahulu, Rafizi dibawa masuk ke dalam Mahkamah Majistret pada 1.50 tengah hari dengan diiringi peguam, R Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang serta Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifudin Nasution.

Semalam, Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR ditahan oleh polis di luar bangunan Parlimen untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti hubungan antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Rafizi mendakwa pesara tentera tidak menerima caruman LTAT mereka sejak 2014, tetapi 1MDB berkata ia tidak lagi berhutang sebarang wang kepada anak syarikat LTAT itu dan tidak boleh dipersalahkan kerana kelewatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 4:14 PM