Ismail Sabri beramah mesra bersama penerima, Korporal Tentera Udara, Claudius Wilson anak Cliff Wondy dan isterinya, Korporal Christina Clinie anak Bonsu di Majlis Pelancaran RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ismail Sabri beramah mesra bersama penerima, Korporal Tentera Udara, Claudius Wilson anak Cliff Wondy dan isterinya, Korporal Christina Clinie anak Bonsu di Majlis Pelancaran RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Sebelum ini saya hanya menyewa bilik di sekitar ibu kota dengan harga RM350 sebulan namun kini mampu menarik nafas lega selepas boleh mendiami rumah ini," kata Koperal R Selvam, 40.

Dia adalah seorang daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal mendiami Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT di sini.

Selvam yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi melahirkan rasa syukur kerana tidak lagi perlu menyewa rumah dan akan berpindah ke kediaman baru.

"Saya sangat gembira, sebelum ini saya hanya tinggal bersama isteri di bilik sewa memandangkan harga sewa rumah yang tinggi di kawasan ibu kota.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) kerana menyediakan kemudahan kepada anggota ATM," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran RKMAT di Taman LTAT, di sini, hari ini.

Koperal Christina Clinie Anak Bonsu, 29, pula berkata, kediaman RKMAT yang disediakan adalah lebih selesa kerana dilengkapi dengan kemudahan tiga bilik tidur.

"Selain itu, kediaman ini juga dilengkapi dengan perabot lengkap bagi memudahkan anggota ATM yang akan berpindah masuk.

"Sebelum ini saya tinggal di kuarters di Kem Batu Caves dan akan berpindah ke kediaman baharu tidak lama lagi, terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa peka dan prihatin terhadap anggota ATM," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan 2,000 unit rumah RKMAT di Taman LTAT, Bukit Jalil, hari ini.

Kediaman berkenaan dilengkapi dengan kemudahan tiga bilik tidur, perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, jimnasium, surau dan unit kedai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 1:54 PM