ANGGOTA TLDM melakukan pemantauan dari kapal KD Lekiu (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
ANGGOTA TLDM melakukan pemantauan dari kapal KD Lekiu (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua penyelam yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam berhampiran Pulau Jarak, Lumut, Perak diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semalam.

Mangsa warga tempatan berusia 34 dan 36 tahun dikesan anggota TLDM yang melakukan rondaan di Stesen Jarak TLDM, Pulau Jarak pada 7.15 malam.

TLDM dalam kenyataannya berkata, tindakan pantas anggotanya itu berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dalam keletihan dan mengalami dehidrasi.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan, kedua-dua lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pada awal pagi tadi, dua bot Fast Combat Boat (FCB) dari Markas Pemerintahan Armada Barat diatur gerak ke Stesen Jarak TLDM.

"Kapal KD Lekiu yang dalam penugasan Op Benteng Laut dan berada paling hampir dengan lokasi kejadian diarahkan memberikan bantuan awal bagi proses pemindahan kedua-dua mangsa.

"Kedua-dua mangsa dibawa pulang ke Tambatan Pangkalan TLDM Lumut sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi tadi untuk membuat laporan kejadian," katanya hari ini.

TLDM turut menasihatkan orang awam supaya memaklumkan sebarang pelaksanaan aktiviti maritim yang berisiko seperti ini kepada pihak berkuasa seperti APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau TLDM sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

"Selain berperanan sebagai maklumat kepada pihak berkuasa maritim yang berdekatan, ia juga bagi menentukan bantuan dapat disalur dan diatur gerak dengan lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua penyelam dari Kampung Aceh, Lumut dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba bersama tiga rakan di perairan Pulau Jarak, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 8:34 PM