TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan tindakan pengusiran terhadap bot nelayan asing yang cuba memasuki perairan negara. FOTO ihsan TLDM
TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan tindakan pengusiran terhadap bot nelayan asing yang cuba memasuki perairan negara. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Cubaan lapan bot nelayan asing menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Perak, Kedah berjaya dipatahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), petang tadi.

TLDM dalam kenyataan berkata, Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim mengekang cubaan itu pada 5.55 petang.

Menurutnya, Pusat Operasi Armada (POA) Barat sebelum itu menerima maklumat daripada Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan lapan bot di tenggara Pulau Perak.

Katanya, maklumat diperoleh melalui pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum disalurkan kepada komponen maritim untuk tindakan selanjutnya.

"Bertindak menerusi maklumat yang disalurkan, KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan keberadaan lapan bot di kedudukan berkenaan.

"KD Laksamana Hang Nadim kemudiannya melaksanakan tindakan pengusiran dan kekal membayangi bot berkenaan sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara," katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat pantas oleh semua agensi maritim negara berjaya mematahkan tindakan yang melanggar undang-undang atau menceroboh kedaulatan perairan negara.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Sehubungan itu, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 10:49 PM