Lima awak-awak sebuah bot nelayan warga Indonesia dibantu selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ribut semalam.  FOTO Ihsan TLDM
Lima awak-awak sebuah bot nelayan warga Indonesia dibantu selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ribut semalam. FOTO Ihsan TLDM
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Nelayan tempatan membantu lima awak-awak sebuah bot nelayan warga Indonesia selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ribut semalam, sebelum diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat pada kenyataan hari ini berkata, kelima-lima mangsa dihanyutkan ke perairan negara.

Nelayan tempatan kemudiannya menghantar mereka ke Stesen Luar Pantai TLDM, Stesen Jarak, yang berada kira-kira 35 batu nautika di barat daya Pulau Pangkor, jam 2 petang.

"Kelima-limanya terapung di laut selama tiga hari. Mereka diberi makanan dan minuman sebelum dipindahkan ke Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Ops Benteng Laut dan Ops Patkor Malindo.

"TLDM kemudiannya menyerahkan awak-awak berkenaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Pangkor," katanya.

Menurut kenyataan, selepas itu, APMM menyerahkan awak-awak terbabit kepada pihak kedutaan Indonesia untuk proses selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 1:39 PM