APMM menyerahkan nelayan warga Kemboja yang diselamatkan TLDM selepas terjatuh ke laut kepada wakil kedutaan negera berkenaan, hari ini. FOTO IHSAN APMM
APMM menyerahkan nelayan warga Kemboja yang diselamatkan TLDM selepas terjatuh ke laut kepada wakil kedutaan negera berkenaan, hari ini. FOTO IHSAN APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Nelayan warga Kemboja yang diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Jarak, di sini, pada 25 Jun lalu, diserahkan kepada wakil kedutaan negara berkenaan, hari ini.

Penyerahan Pek Poeun, 41, dilakukan Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain kepada wakil kedutaan Kemboja, Zulkifli Mohd Salleh di Ibu Pejabat APMM Perak, Lumut.

Terdahalu, mangsa diselamatkan oleh Kapal Diraja (KD) Mahameru sebelum diserahkan kepada APMM untuk tindakan lanjut.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa diserahkan kepada wakil kedutaan Kemboja selepas sesi pengesahan dilakukan.

Menurutnya, pihak berkenaan akan menguruskan penyediaan dokumen bagi proses penghantaran pulang dalam masa terdekat.

"Ujian saringan Covid-19 ke atas mangsa dilakukan pada 28 Jun lalu dan didapati negatif.

"Kru warga Kemboja ini dipercayai jatuh laut dan diselamatkan oleh KD Mahameru yang menerima maklumat daripada sebuah kapal dagang sebelum diserahkan kepada APMM bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 7:32 PM