GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilakukan bagi memastikan murid tidak dijangkiti Covid-19 susulan tiada lagi penggiliran persekolahan minggu depan.

Sebaiknya, ibu bapa perlu memastikan kebersihan diri anak-anak seperti amalan mencuci tangan dipraktikkan sepenuhnya bagi memastikan mereka terhindar daripada wabak.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mahang, Kedah, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu itu disambut baik, namun tanggungjawab berat menanti guru di sekolah.

Katanya, penggiliran sebelum ini diperkenalkan bagi memastikan murid tidak terdedah dengan risiko penularan dan dengan penarikan balik, pengawasan di sekolah akan berganda.

"Saya rasa PIBG juga perlu memainkan peranan untuk mengingatkan ibu bapa mengenainya.

"Sesi persekolahan secara bersemuka diakui yang terbaik, dan ruang yang ada perlu digunakan sebaiknya untuk belajar.

"Akan tetapi kita sedang berdepan dengan pandemik, jadi bila hadir ke sekolah secara bersemuka, maka tentu akan ada risiko. Namun saya percaya semua itu sudah dipertimbangkan KPM secukupnya," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang, Adnan Jusoh berkata, dengan kehadiran ke sekolah secara bersemuka, murid-murid kini dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna seperti sebelum ini.

Katanya, jika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020, ramai murid yang berdepan dengan kesukaran termasuk untuk menyediakan peranti bersesuaian untuk belajar.

"Kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan hari ini. Walaupun pandemik, pelajaran perlu diteruskan dan kita tidak pasti sampai bila akan berada dalam keadaan seperti ini.

"Jadi langkah membuka sekolah secara bersemuka ini wajar disokong namun aspek pencegahan juga perlu dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 3:45 PM