Ibu bapa memilih pakaian dan keperluan sekolah anak ketika tinjauan di Kedai Buku Dan Alat Tulis, Bangi. FOTO AZHAR RAMLI
Ibu bapa memilih pakaian dan keperluan sekolah anak ketika tinjauan di Kedai Buku Dan Alat Tulis, Bangi. FOTO AZHAR RAMLI
Suraya Roslan


Bangi: Cuti hujung minggu dimanfaatkan sebaik-baiknya segelintir ibu bapa yang membuat persiapan membeli barangan keperluan sekolah anak mereka pada saat-saat akhir sebelum Sesi Persekolahan 2022 bermula esok.

Tinjauan Harian Metro di sekitar premis di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, mendapati orang ramai bersilih ganti mengunjungi premis pilihan masing-masing untuk membeli pakaian sekolah dan juga peralatan alat tulis.

Kakitangan swasta A Vikneswaran, 40, berkata, kunjungannya saat-saat akhir di premis barangan sekolah adalah sekadar untuk melengkapkan keperluan sekolah anak.

Katanya, dia sengaja memilih saat akhir supaya tidak perlu berebut dengan orang ramai dalam keadaan pandemik dan kes masih lagi tinggi.

"Dua anak saya berusia sembilan dan 12 tahun hanya menggunakan saja pakaian sekolah tahun lalu kerana masih kelihatan baru.

"Saya hanya menambah beberapa keperluan seperti alat tulis saja, tidak perlu membazir," katanya kepada Harian Metro.

Bagi peniaga, Fadhlan Ahmad, 36, tahun ini menjadi satu cabaran buat dirinya sebagai bapa kepada anak lelaki pertamanya yang bakal memasuki tahun satu.

"Banyak juga persiapan yang perlu disediakan dan saya lebih teruja untuk menghantar anak ke sekolah esok.

"Walaupun risau dalam keadaan kes baharu makin tinggi, saya hanya mampu tawakal saja memandangkan pembelajaran secara bersemuka lebih berkesan berbanding dalam talian," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dilaporkan berkata, pengoperasian sekolah penggal satu bagi sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula esok adalah lebih terbuka dengan hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan semasa untuk memastikan dan menetapkan bila tarikh bagi murid yang hadir ke sekolah secara penggiliran dapat hadir ke sekolah secara tanpa penggiliran.

Pelajar sekolah menengah pula akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu mulai esok bagi Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023.

Pelajar terbabit kemudian akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah mulai 4 April depan.

Ia meliputi pelajar berkeperluan khas (MBK), peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara.

Seterusnya bagi sekolah rendah yang mempunyai enrolmen melebihi 600 murid, murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 2:16 PM