GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka secara bergilir mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah langkah tepat bagi mengembalikan proses PdP yang berkualiti selepas terkesan akibat penutupan sekolah.

Walaupun kes Covid-19 masih tinggi, namun pendidikan adalah satu keperluan amat penting khususnya untuk murid berkeperluan khas (MBK) dan pelajar kelas peperiksaan sekolah menengah yang boleh dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Justeru itu, PdP bersemuka secara penggiliran membolehkan penyampaian pengajaran yang lebih baik, melaksanakan penilaian prestasi murid, selain mengelakkan berlakunya isu keciciran.

Di peringkat sekolah menengah, Naib Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Mohd Ariffin Abdul Rahman berkata, kehadiran hanya membabitkan murid kelas peperiksaan akan membantu mereka membuat persiapan menjelang peperiksaan.

Beliau berkata, interaksi secara bersemuka antara murid dan guru ketika PdP menjadikan proses pemahaman lebih efektif selain memberi panduan pembelajaran yang lebih jelas terutama subjek dengan latihan amali.

"PdP di rumah (PdPR), guru dan pelajar berdepan cabaran lain termasuk kekurangan bahan rujukan murid dan gangguan liputan internet, namun PdP bersemuka membolehkan interaksi serta perbincangan dua hala yang lebih berkesan," katanya.

Mohd Ariffin berkata, kehadiran murid ke sekolah memberi peluang mengulang kaji pelajaran bagi topik yang diajar ketika PdPR selain membuat pecutan persediaan menghadapi peperiksaan tahun hadapan.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi PdP bersemuka mulai 3 Oktober ini menerusi kaedah penggiliran kehadiran murid secara mingguan dengan kapasiti 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pada setiap minggu, bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Semua sekolah di negeri dalam Fasa Satu PPN tidak dibuka dan pelajar akan meneruskan sesi PdPR sementara di Fasa Dua PPN, bagi sekolah menengah hanya murid tingkatan enam semester dua, program pra universiti semester tiga sekolah sukan dan murid kelas peperiksaan antarabangsa serta MBK sekolah rendah dibenarkan hadir tanpa penggiliran, sementara murid lain (rendah dan menengah) meneruskan PdPR.

Untuk Fasa Tiga PPN, pembukaan sekolah diperluaskan kepada murid prasekolah dan tadika swasta dengan kehadiran tanpa penggiliran, manakala sekolah menengah melibatkan murid kelas peperiksaan awam di asrama penuh (tanpa penggiliran) dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian atau swasta secara penggiliran.

Bagi Fasa Empat PPN pula, bermula 17 Oktober murid sekolah rendah iaitu Tahap Satu (Tahun 1,2 dan 3) dibenarkan hadir secara penggiliran dan murid Tahap Dua (Tahun 4,5 dan 6) dibenarkan juga secara penggiliran bermula 31 Oktober.

Di sekolah menengah pula, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran manakala murid tingkatan sama bagi sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran sementara kelas peralihan dan Tingkatan Satu serta Dua adalah secara PdPR, mulai 17 Oktober.

Sementara itu Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Sukiman Juki menyifatkan pembukaan semula sekolah secara bergilir dan berperingkat adalah penting untuk memastikan tahap penguasaan pelajaran murid kembali landasan tepat, terutama bagi MBK.

Jelasnya, modul PdP murid berkenaan berbeza dengan murid biasa yang lebih memerlukan interaksi dua hala, kemahiran dan teknik tertentu yang dilakukan guru terlatih.

"Di peringkat sekolah rendah, ini adalah tempoh kritikal perkembangan pendidikan anak-anak terutama MBK, justeru keutamaan PdP bersemuka untuk golongan ini amat bertepatan untuk memastikan mereka tidak tercicir.

"Kita juga melihat, PdP bersemuka dengan agihan jumlah murid mengikut kumpulan dan diselang-selikan PdPR memberi ruang kepada murid untuk belajar dengan lebih baik tanpa menambah beban kepada guru," katanya.

Biarpun KPM tidak mewajibkan ibu bapa menghantar murid ke sekolah kerana kebimbangan jangkitan wabak, namun Mohd Ariffin dan Sukiman senada dan yakin risiko berlaku penularan di sekolah dapat dielakkan dengan pematuhan SOP ketat.

Tegas mereka, tanggungjawab menjaga keselamatan murid daripada dijangkiti wabak turut melibatkan peranan ibu bapa ketika murid berada di luar kawasan sekolah bagi memastikan proses PdP bersemuka berjalan lancar demi masa depa pendidikan anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:25 PM