AMINUDDIN Awang.
AMINUDDIN Awang.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengesahkan tiada laporan diterima pihaknya mengatakan guru terbeban dan mengalami tekanan apabila perlu hadir ke sekolah untuk pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka, sekali gus meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, kebanyakan guru lebih selesa untuk hadir mengajar secara bersemuka di sekolah.

"Kami tiada maklumat mengatakan guru terbeban dan tekanan apabila perlu hadir ke sekolah, malah guru lebih selesa hadir mengajar bersemuka.

"Garis panduan berkaitan penggiliran sudah ditaklimatkan kepada semua guru bagi sekolah Fasa Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tiada isu, semua lancar," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, isu guru tertekan dan terbeban akibat pengajaran secara bersemuka dan perlu menyediakan bahan pengajaran PdPr perlu dilihat dalam konteks yang betul.

"Mungkin ia kes terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan semua warga guru.

"Setakat ini, guru berdedikasi menjalankan tugas diamanahkan dan mereka cuba melakukan yang terbaik.

"Jika ada kes guru tertekan dan terbeban mungkin kerana mereka terpaksa menanggung beban tugas guru yang enggan divaksin," katanya.

Menurutnya, jika guru antivaksin itu adalah guru kelas dan rakan subjeknya hanya dua orang, memang akan terasa terbeban dan tekanan.

"Sebab itu kita nasihatkan guru yang belum vaksin supaya akur dengan arahan sebagai penjawat awam untuk mengambil vaksin.

"Ini kerana ia menyusahkan rakan sekerja bahkan menjadi kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

"Setiap guru perlu menguruskan tugas dengan sebaiknya, membuat persediaan yang cukup untuk proses PdP dan PdPr," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan manual pengoperasian PdP secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.

Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru perlu menjelaskan mengenai aktiviti, latihan atau tugasan perlu dilaksanakan berdasarkan topik akan dipelajari.

Radzi turut mengesahkan meskipun sesi bersemuka sekolah sudah bermula, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin, tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 4:29 PM