FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memikirkan beberapa mekanisma sebelum pembukaan sekolah secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon yang juga Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor berkata, ia termasuk mengambil kira kegusaran ibu bapa murid dan pelajar.

Beliau berkata, setakat ini pelajar bawah 17 tahun tidak diberikan vaksin, yang menyebabkan golongan berkenaan antara berisiko.

"Malah, kegusaran bertambah dengan adanya golongan guru enggan divaksin, biarpun mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka. Ramai ibu bapa bimbang dengan risiko dihadapi anak mereka.

"KPM boleh wujudkan sistem penggiliran kehadiran pelajar bagi mengelakkan penularan Covid-19 terjadi.

"Pelajar perlu digilirkan apabila sebahagian mereka boleh hadir kelas secara bersemuka, manakala sebahagian lagi meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Michael Tay turut mencadangkan KPM berbincang dengan pakar termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberi jaminan keselamatan pelajar di sekolah akan terjamin.

Beliau berkata, ibu bapa tidak mahu sekolah dibuka dengan tergesa-gesa dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah pelajar.

Katanya, perbincangan serta pandangan pakar secara menyeluruh perlu diambil kira demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:27 PM