Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kualiti pendidikan di Tabika Perpaduan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap kanak-kanak pelbagai kaum dan latar belakang menerima pelajaran sewajarnya.

Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya tidak pernah lepas tangan berhubung aspek kualiti pendidikan buat kanak-kanak empat hingga enam tahun yang memilih untuk belajar di Tabika Perpaduan.

Katanya, setiap silibus yang diperkenal adalah berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ini bermakna kita bukan suka-suka buat dan ada sistem serta cara yang perlu diikuti, yang ia bersandarkan kepada KPM.

HALIMAH (tiga dari kiri) melawat pameran Tabika Perpaduan pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
HALIMAH (tiga dari kiri) melawat pameran Tabika Perpaduan pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

"Pada masa sama, di Tabika Perpaduan adanya Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang tersusun, kita mempunyai buku teks sendiri hasil kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang mencari buku sesuai tetapi kini tidak lagi kerana kita sudah ada buku teks sendiri.

"Dalam pada itu guru di Tabika Perpaduan juga mempunyai buku lembaran kerja untuk mencatat penyediaan pendidikan yang diajar mengikut tahun, bulan bahkan mingguan," katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Halimah berkata, Tabika Perpaduan masih mendapat sambutan dengan kini terdapat 1,781 buah beroperasi di seluruh negara serta 37,000 murid.

"Kita juga sedang menjalankan kaji selidik untuk membuka lebih banyak Tabika Perpaduan pada masa akan datang," katanya yang memaklumkan pembukaan tabika itu adalah bergantung permohonan atau keperluan ibu bapa di satu-satu kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:11 PM