GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


SEBANYAK 11,430 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara akan kembali beroperasi, 1 Julai ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pembukaan itu membabitkan 10,910 tabika dan 520 taska.

Katanya ia juga melibatkan 220,000 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang belajar di tabika dan 9,500 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun di taska.

"Kesemua lebih 11,000 pemaju masyarakat atau guru KEMAS juga sudah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran dalam norma baru.

"Rabu ini, KEMAS akan buka semua Tabika dan Taska seluruh negara. Tiada yang terkecuali semua dibuka dengan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) normal baharu.

"Tidak perlu bimbang kerana kita akan pastikan tabika dan taska mengikut SOP dan normal baru, termasuk penjarakan sosial yang pastinya akan dipenuhi oleh guru juga kanak-kanak", katanya sidang media selepas majlis ramah mesra meraikan sukarelawan penyediaan PPE KEMAS di Felda Tenggaroh 5, Mersing, hari ini.

ABD Latiff (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sukarelawan KEMAS yang menjahit PPE. FOTO Omar Ahmad
ABD Latiff (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sukarelawan KEMAS yang menjahit PPE. FOTO Omar Ahmad

Menurut Abd Latiff, yang turut meninjau persiapan Tabika Perpaduan Tenggaroh 5 nyata berpuas hati dengan penandaan penjarakan sosial serta SOP lain yang akan dilaksanakan di Tabika terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 2:37 PM