Siti Rohana Idris


Tumpat: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sedang menyiapkan kerja baik pulih 263 premis termasuk tabika perpaduan yang terjejas akibat banjir.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Roslan Che Daud, berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM8.4 juta tahun ini yang dimanfaatkan untuk kerja baik pulih termasuk Taska Genius Perpaduan dan ruang pejabat yang dijangka semuanya akan selesai menjelang bulan depan.

"Peruntukan itu diberikan oleh Kementerian Kewangan dan ia jumlah yang besar untuk kita manfaatkan bagi kerja baik pulih semua tabika perpaduan, Taska Genius Perpaduan dan ruang pejabat yang daif atau rosak akibat banjir.

"JPNIN Negeri Kelantan mendapat peruntukan sebyk RM75,000 yang membabitkan empat Tabika Perpaduan dan semua projek pembaikian ini dijangka selesai pada pertengahan November," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau terdahulu hadir di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di sini, mengagihkan 400 Bakul Rahmah kepada penduduk sekitar.

Che Roslan berkata, setiap tahun pihaknya berdepan dengan kerugian akibat banjir namun dari semasa ke semasa semua pihak termasuk guru tabika perpaduan sudah berwaspada dengan trend musim banjir di penempatan masing-masing.

Menurutnya lagi, jika kos untuk baik pulih agak besar atau memerlukan bantuan pihak lain, badan bukan kerajaan (NGO) atau badan korporat bersedia membantu.

"Biasanya kalau tabika perpaduan yang terkena banjir, kita akan selenggara balik supaya dapat meneruskan pendidikan anak-anak, memang tanggungjawab kita.

"Kalau peruntukan tidak mencukupi, kita akan dibantu NGO dan badan korporat misalnya awal tahun ini beberapa negeri dilanda banjir dan ramai NGO serta pihak lain tampil menghulurkan bantuan termasuk memberi sumbangan perabot.

"Tidak dinafikan, Pantai Timur paling terkesan dan kita sudah menggerakkan Skuad Uniti yang bersedia untuk membantu penduduk yang terjejas banjir," katanya.

Selain penyampaian Bakul Rahmah, Che Roslan turut menyertai Program Jom Ronda bersama pasukan Kawasan Rukun Tetangga Kubang Batang/Menjual dengan diiringi Pengerusi KRT terbabit, Datuk Ahmad Rosdi Mahmad.

Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 11:17 AM