Mohamed Farid Noh


KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara akan diberi penjenamaan lebih segar bagi memastikan ia kekal relevan dan dimanfaatkan lebih ramai komuniti dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, langkah itu bagi membolehkan fungsi KRT dipelbagaikan seiring peredaran zaman dan teknologi selain mampu menarik minat masyarakat menyertainya.

Katanya, terdapat 8,274 KRT berdaftar di seluruh negara namun 974 daripadanya dikesan tidak aktif dalam komuniti.

"Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Menteri, Datuk Seri Ti Lian Ker sedang menyemak mengapa 974 KRT ini tidak aktif sehingga komuniti tidak berminat dan tidak bersemangat menggerakkan elemen perpaduan menerusi badan sukarela itu.

"Oleh itu, kita sedang menggerakkan langkah meremajakan semula KRT dan memberi penjenamaan baharu bagi memastikan ia dapat menarik minat pelbagai golongan masyarakat menyertainya.

HALIMAH (tengah) menyampaikan Kit Skim Rondaan Sukarela kepada wakil KRT Johor, pada majlis Aspirasi Perpaduan Tahun 2020, di Persada Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
HALIMAH (tengah) menyampaikan Kit Skim Rondaan Sukarela kepada wakil KRT Johor, pada majlis Aspirasi Perpaduan Tahun 2020, di Persada Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

"Antara langkah yang sedang dilihat termasuklah mewujudkan modul baharu bagi memantapkan modul sedia ada termasuk Jiran Muda serta Jiran Wanita selain memperkenalkan penarafan bintang di setiap KRT dengan penarafan Sangat Aktif, Sederhana Aktif, Aktif dan Tidak Aktif," katanya menjelaskan ia bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti setiap badan sukarela itu terutamanya dalam pemberian geran.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Aspirasi Perpaduan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

KRT sebelum ini dikenali sebagai Skim Rukun Tetangga dilancarkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua, pada 29 Ogos 1975, yang antara fungsi awalnya untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan tertentu.

Sementara itu, Halimah turut mengumumkan tambahan geran sebanyak RM500 yang akan diagihkan kepada semua 8,274 KRT seluruh negara membabitkan peruntukan berjumlah RM3.81 juta.

Katanya, ia sebagai tambahan kepada geran sebelum ini iaitu KRT Sangat Aktif menerima geran RM6,000, Aktif (RM4,000) dan Sederhana Aktif (RM2,000).

"Kita juga sedang melihat cadangan bagi memberi bantuan kabin kontena bagi membolehkan KRT kawasan terpilih terutama yang sangat aktif menggunakannya sebagai pusat operasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 7:00 PM