Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bahasa isyarat akan dijadikan sebagai pengajaran bahasa ketiga di Tabika Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) selain daripada bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia susulan cadangan yang diutarakan Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Dewan Negara baru-baru ini yang mencadangkan kerjasama antara kementerian itu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Cadangan itu sangat baik, (kerana) sekurang-kurangnya murid di Tabika Perpaduan ada kemahiran pertuturan yang baharu," katanya dalam sidang media Program Perpaduan Komuniti KRT: RT Cares & Kebun Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Tersusun Klebang Selatan Kinta di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Perpaduan Negeri Perak, Mansor Mohd Hashim.

4 Oktober lalu, media melaporkan Ras Adiba mengharapkan kerjasama antara dua kementerian itu dengan harapan dapat melahirkan masyarakat yang peka kepada keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) serta komuniti yang inklusif.

Dalam pada itu, Halimah berkata program berkenaan dijangka dilaksanakan di 1,781 Tabika Perpaduan yang membabitkan lebih 38,000 murid di seluruh negara, tahun depan.

Beliau berkata, bagaimanapun pengajaran kelima-lima bahasa itu hanya membabitkan bahasa komunikasi seharian tanpa penambahan silbus mata palajaran baharu yang perlu menjalani penilaian bertahap sekali gus menafikan bebanan ke atas murid.

Beliau berkata, bagi bahasa Iban dan Kadazan, ia akan turut diajarkan di Tabika Perpaduan seluruh negara termasuk di semenanjung Malaysia.

"Pembelajaran bahasa ini adalah bahasa komunikasi pertuturan, ia bukan mata pelajaran baharu. Kita hendak ajar anak-anak kita supaya mereka boleh faham dan bertutur dalam komunikasi asas seharian lima bahasa berkenaan, yang sekali gus mempereratkan lagi hubungan sesama mereka.

"Kita mulakan dengan menarik minat murid-murid melalui nyanyian, bercerita dan sebagainya dalam kelima-lima bahasa terbabit. Kita juga peruntukkan satu tempoh masa hanya untuk mereka ikuti pelajaran kemahiran bahasa ini," katanya.

Katanya lagi, selain KPM, kementeriannya turut mengatur kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan mula menghantar guru-guru yang terbabit untuk menjalani Latihan secukupnya.

"Kita juga ambil guru-guru yang sudah berpencen misalnya yang mana ada di antara mereka yang sudah mempunyai asas bertutur dalam bahasa ketiga terbabit," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan empat program baharu bawah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030 di Tabika Perpaduan termasuk pengajaran bahasa komunikasi sebagai bahasa ketiga, iaitu bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 2:19 PM