Polis menyerbu dua pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang, di sini, yang ingkar arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Polis menyerbu dua pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang, di sini, yang ingkar arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyerbu dua pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang, di sini, selepas didapati ingkar arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, operasi dijalankan 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, dalam pemeriksaan pertama seramai 12 orang terdiri 10 warga tempatan dan dua warga asing berusia 18 hingga 45 tahun ditahan.

"Warga tempatan termasuk pengurus dikompaun RM1,000 setiap seorang manakala warga asing disiasat mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Pemeriksaan kedua, seramai 140 warga tempatan berusia 18 hingga 65 tahun ditahan dan dikompaun RM1,000 setiap seorang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 atas kesalahan menganjur kelab malam tanpa lesen sah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 1:24 PM