HAMIDIN (lima dari kanan) dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (empat dari kanan) bergambar bersama-sama exco FAM  ketika sambutan Aidilfitri MOM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
HAMIDIN (lima dari kanan) dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (empat dari kanan) bergambar bersama-sama exco FAM ketika sambutan Aidilfitri MOM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah menyekat atau menolak mana-mana individu yang menyimpan hasrat untuk bertanding merebut jawatan kepimpinan tertinggi organisasi itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu bersifat terbuka termasuklah jika bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ingin merebut kerusi panas dalam FAM itu.

Beliau berkata, individu yang mahu mengisi jawatan dalam kepimpinan utama FAM perlulah mengikut perlembagaan atau statut yang ditetapkan badan induk bola sepak negara bagi membolehkan mereka bertanding kelak.

"Saya rasa itu pandangan beliau (Khairy). Apapun kita buat tak boleh lari daripada perlembagaan.

"Siapa pun boleh bertanding kerana saya bersifat terbuka dan FAM pun begitu," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri MOM, sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan sudah tiba masa buat FAM melakukan peralihan pucuk pimpinan dalam usaha menggerakkan sukan nombor satu negara itu ke tahap yang lebih pesat pada masa akan datang.

Pandangan itu diluahkan Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM, sambil menegaskan kepimpinan sedia ada sudah melakukan kerja dengan baik sepanjang memegang jawatan dalam badan induk itu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Hamidin terasa hati dengan kenyataan Khairy itu, beliau memaklumkan perkara itu tidak meninggalkan kesan dalam dirinya.

"Tak ada kecil hati kerana saya seorang yang berfikiran terbuka. Menerima kritikan daripada netizen, mana yang baik saya ambil.

"Ada blogger dan pengkritik yang mengkritik mengenai persembahan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan surat layang. Perkara paling penting kita tak buat salah dan lakukan demi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:49 PM