ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 52 warga asing ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, di sini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mereka ditahan oleh selepas pemeriksaan pada 11.30 malam tadi.

Katanya, keseluruhan 82 orang diperiksa pada serbuan itu termasuk 30 warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan 21 wanita.

"Sejumlah 52 warga asing pula membabitkan 27 lelaki dan 25 wanita berusia 19 hingga 49 tahun.

"Semua warga tempatan dikompaun RM1,000 setiap seorang, manakala 52 warga asing ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah) Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama apabila aktiviti kelab masih tidak dibenarkan di bawah PPN Fasa 4," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:07 PM