Zizan.
Zizan.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak menganggap artis yang bermasalah wajar diberi peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan dari terus disenarai hitam pihak produksi dan stesen TV.

Kata Zizan, pihak produksi juga perlu mengambil kira pro dan kontra sebelum menyenarai hitam artis bermasalah terbabit.

"Ada tiga faktor yang perlu diambil kira iaitu dari segi bakat, berapa jumlah pengikut artis itu di media sosial dan rating drama atau filem dilakonkannya.

"Sebelum tindakan diambil, pihak produksi juga perlu berbincang lebih lanjut dan bertanya masalah sebenar dihadapi artis terbabit, sebelum buat sebarang keputusan," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai artis bermasalah lagi, kata Zizan, dia juga pernah dikaitkan dengan isu disiplin pada pembabitan awalnya dalam industri seni tanah air dulu.

"Saya pun pernah ada isu dan dikaitkan dengan itu dan ini termasuk masalah disiplin juga dulu dan bukannya terus bagus dalam industri seni seperti sekarang.

"Namun, selepas lama berlakon kita akan fikir bidang lakonan adalah satu tanggungjawab dan perlu bekerja dalam kumpulan kerana bukan kita sahaja ada di lokasi penggambaran sebaliknya ada kru produksi, tukang buat air, DOP (pengarah fotografi) dan sebagainya.

"Setiap hari, proses itu akan mematangkan diri kita sebagai pelakon di lokasi.

"Kita juga perlu beri peluang kepada artis baru untuk bekerjasama dalam drama atau filem dan menegur dengan tujuan untuk mendidik mereka kerana bakat seni adalah anugerah dari Tuhan," katanya.

Pada masa sama, kata Zizan, artis yang berpengalaman atau artis lama perlu menegur artis baru yang sombong atau ada masalah 'attitude' (sikap) sekali gus untuk mendidik mereka.

"Ada artis baru yang ada masalah 'attitude' kerana mereka tidak tahu cara bekerja sebenar dalam industri seni.

"Bila sudah memasuki bidang seni, baru mereka tahu cara pelakon bekerja dan kita juga boleh menegur untuk mendidik mereka menjadi artis yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 3:57 PM