Kebechi Thomas,38, dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan dan 10 sebatan selepas mengaku memiliki 580.98 gram kanabis. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Kebechi Thomas,38, dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan dan 10 sebatan selepas mengaku memiliki 580.98 gram kanabis. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pasangan kekasih warga Nigeria terlepas hukuman gantung apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 580.98 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Kebechi Thomas Nwankwu, 38, dan teman wanitanya, Happy Akhidenor Aituaje, 33.

Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Mac 2022 selain Kebechi turut dikenakan hukuman 10 sebatan atas kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abdul Rahman Sidik memberitahu mahkamah bahawa representasi peguam tertuduh diterima oleh Pengarah Pendakwaan Negeri dan pendakwaan bersetuju menawarkan pertuduhan pilihan kepada mereka.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kebechi Thomas dan Happy Akhidenor didakwa bersama-sama memiliki kanabis seberat 580.98 gram di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Ayer Keroh pad 24 Mac 2022, kira-kira jam 5.30 pagi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29A(2) akta sama dibaca bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan utama, mereka didakwa mengedar dadah berkenaan dan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Terdahulu, Peguam Datin Kharen Jit Kaur merayu Kebechi Thomas dan Happy Akhidenor diberikan hukuman ringan atas alasan tidak pernah terbabit jenayah dan itu kesalahan pertama mereka.

Menurutnya, tertuduh pertama sudah berkahwin dan menanggung tiga anak berusia 17 hingga 10 tahun di Nigeria manakala tertuduh kedua, ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 14 tahun.

"Kebechi Thomas dan Happy Akhidenor datang ke Malaysia sejak 2017 dan 2015 untuk menyambung pengajian pengajian masing-masing di universiti serta kolej swasta," katanya.

Mohd Asri bagaimanapun berhujah, semua rayuan dikemukakan peguam lebih kepada kepentingan kedua-dua tertuduh dan mahkamah perlu menimbangkan fakta kepentingan awam dalam memberikan hukuman.

"Seperti dihujahkan peguam, jelas kedua-dua tertuduh orang berpendidikan tinggi dan tahu mengenai undang-undang Malaysia yang termaktub, jadi tiada alasan lakukan kesalahan.

"Pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada warga tempatan dan asing serta menjamin kedaulatan undang-undang negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 3:43 PM