- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang penolong pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Moh Roffi Ab Rahman, 58, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan itu pada prosiding hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Moh Roffi yang bertugas di Unit Perubatan Forensik HoSHAS didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,600 yang dimasukkan secara pindahan wang ke akaun bank miliknya oleh dua individu terbabit dalam kerja pengurusan mayat dan jenazah di sebuah bank di Bandar Pusat Jengka, Bandar Jengka antara 8 April hingga 27 Jun 2021.

Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi pertuduhan pertama, denda RM600 bagi pertuduhan kedua dan denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga.

Pada 19 Oktober tahun lalu, Moh Roffi mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima wang berjumlah RM3,350 berkaitan kerja pengurusan jenazah di hospital terbabit.

Bagaimanapun, sembilan lagi pertuduhan membabitkan kesalahan sama yang dihadapi Moh Roffi sebelum ini dipertimbangkan sebagai 'take into consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:01 PM