ANGGOTA polis menahan tiga pegawai khidmat pelanggan yang mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menahan tiga pegawai khidmat pelanggan yang mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan. FOTO ihsan polis
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga pegawai khidmat pelanggan ditahan polis selepas memperdayakan mangsa dalam aplikasi TikTok sebelum menyerahkan senarai kenalan kepada sindiket bagi tujuan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini, pada jam 2.50 petang, semalam.

"Bertindak atas maklumat berkaitan penipuan dalam talian, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bersama anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Dang Wangi membuat serbuan ke atas kondominium itu.

"Kita berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 23 tahun dan merampas 26 unit perkakas dan peralatan penipuan dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara yang dirampas tiga unit komputer riba pelbagai jenama, 21 telefon bimbit, satu unit modem dan satu set komputer.

"Siasatan awal mendapati kegiatan ini beroperasi selama sebulan yang menyasarkan warga tempatan dan warga asing di luar negara.

"Kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan aplikasi itu kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Noor Dellhan berkata, seramai 122 warga tempatan dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan ke endemik di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

"Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi memeriksa 122 warga tempatan terdiri daripada 78 lelaki dan 44 wanita berusia 19 hingga 58 tahun.

"Semua mereka dikompaun atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di premis berkenaan.

"Selain itu, pengurus premis juga dikompaun RM1,000 kerana gagal mengawal pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan berasingan di pusat hiburan di Jalan Raja Chulan, semalam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi menjalankan ujian saringan air kencing bagi pengesanan dadah ke atas 21 orang terdiri daripada 14 warga tempatan dan tujuh warga asing berusia antara 20 hingga 49 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua warga tempatan positif dadah jenis amphetamine dan direman selama sehari untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, tindakan kompaun turut dikeluarkan kepada pengurus premis itu sebanyak RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP PPN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 3:33 PM