Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini yang beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 semalam.
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini yang beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, yang beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan itu pada 11.20 malam.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, seramai 58 individu berusia antara 20 tahun hingga 49 tahun diperiksa.

"Kesemua 58 orang termasuk pengurus premis dikompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) 2021.

"Hasil pemeriksaan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 atas kesalahan menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Delhan berkata, orang ramai dinasihati supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 5:44 PM