ANTARA pengunjung pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail yang dikenakan kompaun. FOTO Ihsan Polis
ANTARA pengunjung pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail yang dikenakan kompaun. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 76 pengunjung pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, dikompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada jam 1.15 pagi itu mendapati semua individu terbabit tidak mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan ke endemik.

"Hasil pemeriksaan mendapati 76 warga tempatan terdiri daripada 50 lelaki dan 26 wanita berusia 20 hingga 51 tahun berada di dalam premis hiburan itu.

"Mereka dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada pengurus premis sebanyak RM1,000 kerana gagal mengawal pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis itu.

"Tindakan kompaun dilakukan mengikut peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022.

"Hasil daripada pemeriksaan berkenaan juga, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 atas kesalahan menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 4:36 PM