JURUAWAT menyediakan vaksin Covid-19  AstraZeneca di Guatemala City pada 25 Februari 2022. FOTO AFP
JURUAWAT menyediakan vaksin Covid-19 AstraZeneca di Guatemala City pada 25 Februari 2022. FOTO AFP
Agensi

London: Firma Farmaseutikal AstraZeneca (AZ) buat kali pertama mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin COVID-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Gergasi farmaseutikal itu menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Peguam berhujah bahawa vaksin Itu menghasilkan kesan sampingan yang memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil individu.

Kes pertama tahun lalu difailkan oleh Jamie Scott, bapa kepada dua anak, yang mengalami kecederaan otak kekal selepas dirinya mengalami pembekuan darah dan pendarahan di otak yang menghalangnya daripada bekerja, selepas disuntik vaksin itu pada April 2021.

Tahapnya amat kritikan sehingga pihak hospital menghubungi isterinya tiga kali secara berasingan untuk memberitahu lelaki itu akan meninggal dunia.

AZ membantah tuntutan itu tetapi dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, ia membuat beberapa pengakuan.

Antaranya, ia menyatakan vaksin COVID-19 buatannya 'boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau 'Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome' iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.

Pengakuan AZ itu - dibuat dalam pembelaan undang-undang terhadap tuntutan Mahkamah Tinggi oleh Scott - selepas perbalahan undang-undang yang sengit.

Ia boleh menyebabkan pemberian pampasan jika firma terbabit mengakui vaksin itu menyebabkan penyakit serius dan kematian dalam kes tertentu, malah kerajaan juga berjanji untuk membiayai kos tindakan perundangan terhadap AZ.

Dalam surat jawapan yang dihantar pada Mei 2023, AZ memberitahu peguam Scott: "Kami tidak menerima bahawa TTS disebabkan oleh vaksin pada peringkat generik".

Namun, dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari lalu, AZ berkata: "Memang diakui bahawa vaksin AZ boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS. Mekanisme penyebab tidak diketahui.

"TTS juga boleh berlaku jika tiada vaksin AZ (atau mana-mana vaksin). Penyebab dalam mana-mana kes individu hanya boleh ditentukan melalui pembuktian pakar," katanya.

Saintis mula mengaitkan antara vaksin dan penyakit baru dikenali sebagai 'immune thrombocytopenia and thrombosis (VITT)' berpunca daripada pengambilan vaksin seawal Mac 2021, sejurus selepas vaksin COVID-19 mula diedarkan.

Isteri Scott, Kate, memberitahu akhbar Telegraph bahawa dunia perubatan sudah lama mengakui bahawa VITT disebabkan oleh vaksin. Hanya AZ yang mempersoalkan sama ada keadaan Jamie disebabkan oleh suntikan itu.

"Ia mengambil masa tiga tahun untuk hasil ini (tuntutan mahkamah). Ia adalah kemajuan, tetapi kami ingin melihat lebih banyak daripada mereka dan kerajaan. Sudah tiba masanya untuk perkara ini bergerak lebih cepat.

"Saya harap melalui penerimaan mereka itu, bermakna kita dapat menyelesaikan masalah ini lebih awal.

"Kami memerlukan permohonan maaf, pampasan yang adil untuk keluarga kami dan keluarga lain yang telah terjejas. Kami mempunyai kebenaran di pihak kami dan kami tidak akan berputus asa," katanya.

Sarah Moore, rakan kongsi di firma undang-undang Leigh Day, yang membawa tuntutan undang-undang itu pula berkata AZ mengambil masa setahun untuk mengakui secara rasmi bahawa vaksin mereka boleh menyebabkan pembekuan darah, selepas fakta ini diterima secara meluas oleh komuniti klinikal sejak akhir 2021.

Dalam satu kenyataan, AZ berkata pihaknya bersimpati kepada sesiapa yang kehilangan orang tersayang atau dilaporkan mempunyai masalah kesihatan.

"Keselamatan pesakit adalah keutamaan kami yang tertinggi dan pihak berkuasa kawal selia mempunyai piawaian yang jelas lagi ketat untuk memastikan penggunaan selamat semua ubat, termasuk vaksin.

"Malah, kajian bebas menunjukkan vaksin AZ sangat berkesan dalam menangani wabak itu, seterusnya menyelamatkan lebih enam juta nyawa di seluruh dunia pada tahun pertama ia dilancarkan," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, vaksin itu 'selamat dan berkesan untuk semua individu berumur 18 tahun ke atas' dan kesan buruk yang kini menyaksikan tindakan undang-undang adalah 'sangat jarang berlaku'.

Vaksin yang sebelum ini digembar-gemburkan oleh Boris Johnson, sebagai 'kejayaan untuk sains British' sewaktu pelancarannya, kini tidak lagi digunakan di United Kingdom (UK).

Saintis pada mulanya mengesan kesan sampingan yang berpotensi serius daripada suntikan, dalam beberapa bulan selepas pelancaran vaksin itu .

Kemudian, mereka bawah 40-an disyorkan diberi suntikan alternatif kerana risiko pengambilan vaksin AZ adalah melebihi bahaya yang ditimbulkan oleh COVID-19.

Peguam mewakili keluarga yang menyaman syarikat farmaseutikal itu berhujah menyatakan, vaksin itu tidak selamat seperti yang diharapkan oleh individu.

Mereka menyaman firma itu, yang berpangkalan di Cambridge, itu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1987.

Angka rasmi dari Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) menunjukkan sekurang-kurangnya 81 kematian di UK disyaki mempunyai kaitan dengan tindak balas negatif yang menyebabkan pembekuan darah pada orang yang mempunyai kiraan platelet darah rendah.

Menurut data MHRA lagi, secara keseluruhan, hampir satu daripada lima orang yang mengalami keadaan itu meninggal dunia akibat kesannya.

Kerajaan UK menjalankan skim pampasan vaksinnya yang tersendiri tetapi mangsa mendakwa bayaran sekali gus iaitu sebanyak £120,000 (RM614,359) tidak mencukupi.

Angka yang diperoleh di bawah desakan Kebebasan Maklumat itu juga menunjukkan, daripada 163 pembayaran yang dibuat oleh kerajaan menjelang Februari tahun ini, sekurang-kurangnya kepada 158 orang adalah penerima suntikan vaksin AZ.

Skim Bayaran Kerosakan Vaksin memberi pampasan kepada mereka yang terkesan akibat vaksin atau kepada waris yang kehilangan orang tersayang. Kurang daripada lima orang di bawah skim itu menerima vaksin selain daripada AZ.

AZ sebelum ini berhujah dalam di mahkamah bahawa tuntutan terhadap syarikat itu 'mengelirukan' dan 'salah di sisi undang-undang'.

Dalam dokumen pembelaan yang difailkan, AZ berkata, profil manfaat/risiko vaksin itu adalah kekal/positif.

AZ ialah syarikat senarai awam kedua terbesar di UK, dengan modal pasaran melebihi £170 bilion (RM870 bilion). - AGENSI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:08 PM