Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebuah premis di Jalan Sultan Ismail di sini, dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pada 11 Mac lalu tular satu video yang dimuat naik di Twitter, Malaysiacitizen berkaitan sekumpulan individu sedang berhibur di premis terbabit.

"Pada hari yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi dan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

"Pemeriksaan yang dijalankan ketika itu mendapati pengunjung mematuhi penjarakan fizikal. Video tular berkenaan tersebut adalah rakaman lama tetapi kompaun tetap dikeluarkan kepada pemilik premis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, tawaran kompaun RM1,000 dikeluarkan kepada pengurus premis mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) PPN 2021.

"Kita menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 5:39 PM