RAKAMAN video tular yang menunjukkan pelanggaran SOP di sebuah premis di Jalan Panggong City Centre, Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM
RAKAMAN video tular yang menunjukkan pelanggaran SOP di sebuah premis di Jalan Panggong City Centre, Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pemilik sebuah premis di Jalan Panggong City Centre, di sini, dikenakan kompaun RM20,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 14 saat yang dimuat naik pemilik akaun Twitter, MalaysianCitizen jam 9 pagi tadi.

"Dalam video berkenaan menunjukkan sekumpulan individu sedang berhibur di sebuah premis dengan melanggar SOP PPN apabila tiada penjarakan fizikal.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang (IPD) Wangi menjalankan pengesanan ke atas pemilik premis berkenaan sebaik video terbabit tular," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, hasil pengesanan itu, pemilik premis terbabit berjaya dikenal pasti dan dihubungi untuk hadir ke IPD bagi tujuan rakaman percakapan.

"Sebaik proses rakaman percakapan selesai, pemilik premis itu dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 atas kesalahan gagal melaksanakan perjarakan fizikal dan pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai dan pemilik premis supaya sentiasa mematuhi SOP dan tindakan di bawah peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 10:58 PM