Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media khas sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Wisma Pertahanan hari ini. FOTO BERNAMA
Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media khas sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Wisma Pertahanan hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan Maasi Magam dan perarakan Chingay yang disambut bermula minggu depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ketetapan itu dibuat hasil pembentangan daripada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Mesyuarat Kuartet Ke-12 semalam, selepas mendapatkan pandangan serta syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Perayaan Maasi Magam akan disambut masyarakat India pada 17 Februari ini, manakala perarakan Chingay disambut oleh lima klan iaitu Hainan, Hakka, Hokkien, Teochew dan Tiong Hua bermula pada hari ke-19 sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bermula 19 hingga 22 Februari ini di Johor.

"Bagi Perayaan Maasi Magam yang bermula 16 hingga 19 Februari ini, hanya individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan mengikuti aktiviti keagamaan.

"Manakala senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay juga perlu mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata, upacara perarakan malam pesta Chingay dibenarkan pada 21 Februari ini.

"Ia membabitkan pergerakan 11 trak berhias dengan tidak lebih 20 ahli pengurusan tokong bagi setiap trak berhias dan penganut tidak dibenarkan mengiringi perarakan dengan senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay perlu mendapat kelulusan PDRM.

"Pada 22 Februari ini pula dibenarkan upacara kepulangan dewa kembali dari Xing Gong Ke Johor Ancient Temple membabitkan tidak lebih 200 ahli pengurusan tokong sahaja dengan senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay perlu mendapat kelulusan PDRM," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada perayaan keagamaan untuk disambut oleh penganut agama terbabit.

"Namun kelonggaran ini harus dimanfaatkan dengan penuh rasa tanggungjawab. Setiap SOP yang digariskan oleh KPN harus dipatuhi bukan sahaja demi keselamatan dan kesihatan diri tetapi juga orang sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:15 PM