BENDERA tertera perkataan Kiwanis, tetapi didakwa bendera komunis oleh individu merakam video yang tular ketika perarakan di Butterworth. FOTO ihsan pembaca.
BENDERA tertera perkataan Kiwanis, tetapi didakwa bendera komunis oleh individu merakam video yang tular ketika perarakan di Butterworth. FOTO ihsan pembaca.
BERNAMA

POLIS hari ini menafikan terdapat bendera komunis dikibarkan semasa perarakan seperti ditularkan dalam media sosial sejak malam tadi, sebaliknya perarakan itu adalah sempena Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang Ke-11 di Jalan Raja Uda, Butterworth, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, menerusi rakaman video berdurasi 1 minit dan 15 saat itu, lelaki yang merakam video perarakan itu menyebut bendera komunis semasa perarakan bermula 6 petang Ahad lalu.

“Sebenarnya tiada perarakan membawa bendera komunis berlaku seperti ditularkan, sebaliknya ia perarakan Chingay disertai pelbagai lapisan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perarakan itu bermula dari Dataran Pemuda Butterworth hingga ke Jalan Raja Uda yang dianjurkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Pulau Pinang serta turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow,” katanya.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati bendera didakwa perakam video itu sebagai bendera komunis sebenarnya bendera dibawa satu daripada 25 kontinjen perarakan Chingay yang tertera tulisan Kiwanis iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan di Malaysia.

Beliau berkata, 50 pegawai dan anggota polis bertugas semasa perarakan yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu dan mustahil pihaknya tidak menyedari jika terdapat bendera komunis dikibarkan semasa perarakan itu.

“Dakwaan seperti dinyatakan dalam video itu adalah tidak benar sama sekali dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman tidak sahih semata-mata untuk menarik minat netizen lain serta menimbulkan kekeliruan.

“Kami sedang mengesan lelaki yang merakam dan menularkan video itu untuk membantu siasatan berhubung dakwaannya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak terus berkongsi dan menyebarkan video itu serta berhenti membuat sebarang spekulasi kerana dakwaan dalam video itu langsung tidak benar, malah ia tiada kaitan dengan bendera komunis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 9:17 PM