GAMBAR hiasan. Perarakan Chingay di Georgetown. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Perarakan Chingay di Georgetown. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Perarakan Chingay, tarian naga dan singa di Pulau Pinang yang dijadual berlangsung pada 1 Januari 2023 akan ditangguh kepada 5 Februari sempena sambutan Chap Goh Meh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, penangguhan penganjuran acara itu adalah selaras dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membatalkan sambutan ambang Tahun Baharu 2023.

"Perarakan Chingay, tarian naga dan singa adalah acara yang unik di negeri Pulau Pinang manakala sambutan Chap Goh Meh merupakan perayaan tradisional kaum Cina.

"Perayaan itu dijangka dapat memperkayakan lagi seni budaya tempatan dengan lebih berkesan dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soon Hin berkata, kerajaaan negeri akan terus mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang mewujudkan pelbagai budaya.

"Kita turut berusaha ke arah memartabatkan warisan budaya dan seni dengan aktiviti bersepadu," katanya lagi.

Terdahulu, Anwar menerusi sidang media Rabu lalu berkata, sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa sekarang.

Dengan keputusan itu, ia mengulangi keputusan kerajaan terdahulu yang tidak mengadakan sambutan tahun baharu 2022 kerana mengelak risiko penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 3:04 PM