Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sambutan Tahun Baru Cina hanya dibenarkan di rumah dalam kalangan ahli keluarga sahaja .

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan itu adalah sama seperti yang dilaksanakan ketika Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali tahun lalu iaitu hanya diadakan bersama ahli keluarga di kediaman yang sama.

Katanya, SOP berkenaan dipersetujui selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti semua aspek berkaitan.

"Acara sembahyang hanya dibenarkan membabitkan ahli keluarga yang tinggal di rumah sama. SOP ini pernah kita lakukan ketika Aidilfitri dan Deepavali.

"Majlis makan besar juga hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal serumah. Makan besar tak boleh macam dulu datang beramai-ramai.

"Sembahyang di tokong tidak dibenarkan, hanya lima orang ahli jawatankuasa saja dibenarkan," katanya dalam sidang media harian hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR
GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR

Beliau berkata, manakala persembahan tarian singa, naga, perarakan tanglung, Chingay dan opera Cina serta pertunjukan pentas tidak dibenarkan sama sekali.

Selain itu ziarah rumah ke rumah serta rentas negeri juga tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun untuk negeri Sarawak, kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk umumkan kerana di sana ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas Pontian Johor juga ditamatkan hari ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai melakukan 408 ujian saringan dan 125 kes positif direkodkan.

"Semua kes positif yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibenarkan pulang hari ini dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:42 PM