GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur sedang mengesan seorang kanak-kanak dipercayai bukan warganegara yang meminta sedekah di sekitar ibu kota, susulan video mengenainya tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan berlandaskan beberapa peruntukan undang-undang.

"Antaranya, mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 yang berkaitan kesalahan mengakibatkan dan membenarkan mana-mana kanak-kanak berada di mana-mana jalan bagi maksud mengemis.

"Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bahaya atau halangan di jalan awam atau di laluan pelayaran awam serta Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan meminta sedekah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa perbuatan yang melanggari undang-undang.

"Pihak Polis juga menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa video yang menunjukkan kanak-kanak lelaki dipercayai warga Rohingnya yang bertindak kurang ajar ketika meminta sedekah di lokasi sekitar pusat bandar termasuk di persimpangan lampu isyarat.

Berita berkaitan

  • Polis cari kanak-kanak tular minta sedekah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:26 PM