SEBANYAK kira-kira 50 peratus kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun didapati berhubung dengan pelaku jenayah menerusi aplikasi WeChat dan media sosial lain beberapa tahun lalu.
SEBANYAK kira-kira 50 peratus kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun didapati berhubung dengan pelaku jenayah menerusi aplikasi WeChat dan media sosial lain beberapa tahun lalu.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Ancaman 'lelaki aneh' yang sememangnya mencetuskan ketakutan. Itu yang berlaku apabila golongan lelaki bernafsu jijik terhadap kanak-kanak atau dikenali sebagai pedofilia didapati meningkat ketara di negara ini.

Fakta ini disokong susulan penemuan lebih 100,000 penjejakan identiti alamat Internet Protokol (IP) berpangkalan di negara ini yang melayari laman web lucah terutama web menyediakan bahan pornografi kanak-kanak.

Taip saja kata kunci berkaitan bahan pornografi, terdapat ribuan hasil carian termasuk 'hidangan' video walaupun enjin carian berkenaan sudah dilengkapi dengan kefungsian penapisan kata kunci eksplicit.

Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan, pihaknya sebelum ini menerima 93,368 alamat IP yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Internet sepanjang tahun lalu.

Maklumat itu diperoleh hasil kerjasama melalui sistem perkongsian membabitkan Bukit Aman dan Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.

Kegiatan dan hobi gila ini bagaimanapun semakin galak walaupun individu yang melayari laman web lucah atau bahan pornografi kanak-kanak menyedari ia satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan PDRM baru-baru ini mendedahkan lebih 100,000 IP berdaftar di negara ini melayari laman web lucah kanak-kanak.

Menurutnya, angka itu jelas meningkat berbanding 17,000 IP dikesan pada 2015.

"Lebih membimbangkan sebanyak kira-kira 50 peratus kanak-kanak berumur antara 13 hingga 15 tahun didapati berhubung dengan pelaku jenayah menerusi aplikasi WeChat dan media sosial lain beberapa tahun yang lalu.

"Jumlah IP tempatan direkodkan ini, sekali gus memberi gambaran awal wujud trend yang tidak sihat di Malaysia.

"Saya juga yakin bahawa angka berkenaan sebenarnya mungkin lebih tinggi kerana rekod berkenaan hanya menunjukkan IP berdaftar saja. Wujud kaedah untuk melepasi atau bypass IP sebenar.

"Menggunakan kaedah Rangkaian Peribadi Maya (VPN), sesiapa saja boleh mengakses laman web tanpa perlu mendedahkan IP asal mereka atau origin IP untuk penjejakan," katanya kepada Harian Metro.

Siraj memberi contoh bahawa jika seseorang itu berada di Malaysia namun mahu menutup IP atau masking IP, individu berkenaan boleh menghidupkan VPN dengan memilih mana-mana negara yang dirasakan sesuai seperti Amerika Syarikat (AS) dan sebagainya.

Beliau berkata, wujud juga tindakan segelintir pengguna yang mahu menutup jejak mereka dengan menggunakan pelbagai lapis VPN sekali gus keadaan itu sangat menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejaki.

"Jika kita hidupkan VPN di peranti pintar atau laptop, itu mungkin sudah biasa, VPN juga boleh dihidupkan kepada penghala (router), pada masa sama peranti pintar yang menggunakan jaringan Internet penghala berkenaan menghidupkan VPN lokasi lain, sekali gus terdapat dua lapisan jejak.

"Isu sama yang berlaku terhadap pengguna yang melayari laman web lucah kanak-kanak, saya yakin ramai dalam kalangan pengguna yang sedikit celik teknologi akan menggunakan manfaat VPN sepenuhnya supaya mereka tidak terjejak dengan IP asal," katanya.

Menurutnya, ruang siber ini terlalu luas untuk dikawal pada segenap inci namun pendedahan serta pendidikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak perlu diteruskan.

Katanya, menerusi kaedah itu mampu untuk meminimumkan risiko apabila semua pihak mengetahui tentang perlakuan yang menjadi kesalahan manakala kanak-kanak tahu tentang hak mereka.

Saran beri hukuman lebih tegas kepada pelaku

Terdapat tiga seksyen khusus boleh diguna pakai bagi mendakwa pesalah termasuk golongan pedofilia atas kesalahan mengumpul bahan pornografi kanak-kanak.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, ia merangkumi Seksyen 10, Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002.

"Menerusi Seksyen 10 Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, ia menggariskan bahawa mana-mana individu yang mengakses atau mempunyai dalam milikan atau kawalan apa-apa pornografi kanak-kanak boleh didakwa.

"Mana-mana orang yang mengakses atau mempunyai dalam milikan atau kawalannya, apa-apa pornografi kanak-kanak boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Pengarah Advokasi Khidmat  Guam, Mahmud Jumaat ketika temubual di Shah Alam.
Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat ketika temubual di Shah Alam.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) pula menjelaskan bahawa menjadi kesalahan bagi sesiapa menjual, membolehkan mendapat upah, mengedarkan, mempamerkan secara terbuka atau dengan apa-apa cara digunakan untuk mengedar.

"Peruntukkan ini juga meletakkan bahawa sebarang bentuk untuk jualan, sewa, pengedaran, pameran awam atau peredaran membuat, menghasilkan atau memiliki dalamnya memiliki mana-mana buku lucah, risalah, lukisan, lukisan, lambang atau angka atau mana-mana objek lucah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya," katanya.

Mahmud berkata, individu terbabit juga boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002.

"Saya mencadangkan kerajaan segera menggubal ataupun meminda undang-undang berkaitan bagi membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan untuk membanteras perbuatan menonton dan berkongsi pornografi kanak-kanak.

"Setakat ini, di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tiada hukuman penjara minimum membabitkan pornografi boleh dikenakan terhadap pihak pelaku.

"Ini bermakna, atas budi bicara mahkamah si pelaku boleh dikenakan hukuman serendah satu hari bagi kesalahan dilakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 12:00 PM