Hazsyah Abdul Rahman


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat tindakan anggotanya yang menggari dan menularkan gambar kanak-kanak Palauh yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, perbuatan berkenaan menyalahi peraturan dan undang-undang.

Menurutnya, setakat ini individu melakukan perbuatan itu sudah dikenal pasti.

“Setakat ini seorang anggota polis sudah dikenal pasti dan tindakan undang-undang serta tatatertib akan diambil.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan perbuatan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kira-kira jam 10.30 pagi itu, gambar seorang kanak-kanak Palauh meminta sedekah sambil mengacukan pistol mainan ke arah pengguna jalan raya di lampu isyarat Bandar Sri Perdana, tular di Facebook.

Sepasukan polis kemudiannya menahan kanak-kanak itu bersama 14 individu Palauh lain yang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

Selepas itu, gambar kanak-kanak itu memegang pistol sambil tangannya digari tular di laman sosial.

Berita berkaitan

Minta sedekah sambil acu pistol mainan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 10:03 PM