Suraya Roslan


Hulu Langat: Pelarian etnik Rohingya diingatkan supaya tidak besar kepala dan sedar kedudukan mereka di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan menyedari etnik Rohingya ini mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Saya dah hampir dua tahun berjuang untuk memastikan mereka yang ada kad UNHCR faham akan kedudukan mereka.

"Mereka bukan rakyat (warga Malaysia), mereka hanya duduk di sini (Malaysia) sebagai refugees (pelarian).

"Malah, mereka kena faham Malaysia bukanlah negara yang terus akan didiami bagi pelarian," katanya dalam sidang media ketika lawatan dan penyerahan dokumen diri kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Program Mekar Prihatin Pasca Banjir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditubuhkan khusus untuk membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN.

Hamzah berkata, sifat perikemanusiaan Malaysia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mereka naik kepala.

"Kita sudah melakukan sebaik mungkin tapi jangan sehingga naik kepala. Bila naik kepala, saya nak maklumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, saya tidak suka sesiapa naik kepala melanggar undang-undang negara," katanya.

Ditanya mengenai tindakan kanak-kanak Rohingya meminta sedekah dan menghampiri kereta kemudian mengetuk pintu sambil berwajah bengis, Hamzah berkata, beliau sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat tindakan yang boleh dikenakan.

"Memang betul kita simpati tetapi dia tidak boleh melakukan kesalahan sehingga boleh berlaku masalah yang lain dengan mengganggu lampu isyarat dan maki hamun.

"Jadi kita ajar semua pihak yang mahu duduk dalam negara kena faham kita adalah sebuah negara yang ada undang-undang.

"Semua pihak perlu ikut undang-undang negara tidak kira warganegara, bukan warganegara atau pelarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 4:41 PM