Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menyedari cabaran negara dalam mengekang kegiatan mengemis terutama membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Jurucakap UNHCR memaklumkan ia berikutan cabaran dihadapi golongan pelarian yang sukar mendapatkan pekerjaan di negara ini dan sukar berdikari hingga memaksa mereka mengemis untuk kelangsungan hidup.

Katanya, tanggungjawab mengurus dan melindungi kanak-kanak terletak di bawah jabatan kerajaan seperti yang ditetapkan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

"Bagaimanapun, UNCHR sedia memberikan nasihat dan membantu kerajaan dalam situasi di mana pelarian terbabit.

"Jelas sekali, kepentingan terbaik kanak-kanak mesti menjadi pertimbangan utama apabila menguruskan isu ini," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi kiriman emel kepada Harian Metro.

Dalam kenyataan sama, UNHCR memaklumkan kebanyakan keluarga pelarian berdepan kesulitan untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi untuk keperluan asas mereka.

"Untuk terus hidup, pelarian mencari pekerjaan di sektor tidak formal, dan selalunya terdedah dengan eksploitasi termasuk dibayar gaji yang sangat rendah untuk bekerja selama berjam-jam, atau kadangkala tiada gaji langsung.

"Satu perkara biasa juga untuk anak pelarian mencari pekerjaan sampingan untuk membantu menambah pendapatan keluarga mereka.

"Dalam mana-mana komuniti, kemiskinan dan desakan hidup yang mendorong keluarga untuk membenarkan anak mereka keluar mencari pendapatan.

"Bagaimanapun, komuniti pelarian sendiri menganggap hanya peratusan kecil saja yang terpaksa mengemis untuk memenuhi keperluan hidup.

"Jika ibu bapa pelarian dapat bekerja secara sah dan mampu menyara keluarga mereka malah jika anak pelarian dapat menghadiri persekolahan formal, peluang kanak-kanak dieksploitasi berkurangan.

"Apa pun, kanak-kanak itu sepatutnya berada di sekolah, bukannya mengemis di jalanan," katanya.

Dalam pada itu, UNHCR memaklumkan, sehingga akhir November tahun lalu, terdapat kira-kira 180,130 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR Malaysia.

"Kira-kira 155,170 individu berasal dari Myanmar, manakala bakinya adalah pelarian dari negara lain," katanya.

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan kegiatan pengemis cilik dipercayai bukan warganegara yang meminta sedekah namun lagak seperti samseng apabila permintaan mereka tidak diendahkan.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai kanak-kanak itu yang dilihat mengetuk pintu kenderaan pengguna jalan dan berang apabila perbuatannya dirakam pemandu.

Berita berkaitan

Budak 'kurang asam'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 3:17 PM