Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Usia tidak menghalang warga emas yang juga datuk dan nenek kepada 16 cucu menyertai Operasi Bantuan Pasca Banjir 2021 Pahang.

Lebih mengagumkan, Mohamad Ariff Moin, 74, memandu sendiri kenderaan bersama isteri, Dayang Salbiah Ngah, 75, untuk membantu mangsa banjir di Mentakab dan Temerloh, Pahang.

Mohammad Ariff berkata, dia dan isterinya sememangnya gemar menyertai misi bantuan sebegini sejak mereka masih berkhidmat dengan sebagai penjawat awam.

"Memang kami suka sertai misi bantuan dan bila ada bencana kami akan ke sana sama ada dengan menyertai kumpulan atau bergerak berdua sahaja.

"Sebenarnya kami baharu sahaja pulang dari Kuantan, Khamis lalu dan ada kira-kira 300 rumah terjejas.

"Apabila melihat keadaan mereka, hati menjadi sayu dan menginsafkan kerana ketika kita merasakan kita susah. tetapi apa yang dihadapi mangsa di sana lebih teruk dan menyedihkan.

"Kami yang tengok pun sedih, tetapi mereka lebih teruk kerana kehilangan segalanya dalam sekelip mata," kata bekas pesara Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dayang Salbiah atau mesra dipanggil Mak Yah, menyifatkan penyertaannya bersama suami hanya sumbangan kecil kepada mangsa yang terkesan akibat bencana itu.

Dia yang juga bekas pesara Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, usia bukan penghalang mereka untuk berbakti.

DAYANG Salbiah bersama Mohamad Ariff  menyiapkan barang keperluan untuk menyertai misi bantuan pasca  banjir di Pahang. FOTO GHAZALI KORI
DAYANG Salbiah bersama Mohamad Ariff menyiapkan barang keperluan untuk menyertai misi bantuan pasca banjir di Pahang. FOTO GHAZALI KORI

"Kami memang suka misi sebegini dan paling jauh kami pernah ke Indonesia dan selagi terdaya, akan cuba membantu mereka memerlukan," kata ibu kepada enam anak.

Terdahulu, majlis pelepasan misi itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di perkarangan Muzium Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Wan Sukairi berkata, misi bantuan selama tiga hari sehingga Khamis ini disertai kira-kira 650 orang membabitkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta sukarelawan daripada persatuan di negeri ini.

Beliau berkata, misi anjuran kerajaan negeri Terengganu itu memfokuskan operasi pembersihan dan pengagihan bantuan di kawasan Temerloh dan Mentakab di Pahang.

"Kami fokus pada pembersihan rumah mangsa yang terjejas, dapur rakyat (menyediakan makanan) dan menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan termasuk pek keceriaan untuk kanak-kanak.

"Kami berharap harap kehadiran rombongan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 11:00 AM