SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia (MCM) menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Mentakab, Pahang, sejak Khamis lalu.
SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia (MCM) menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Mentakab, Pahang, sejak Khamis lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Usaha murni Muslim Care Malaysia (MCM) menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir tetap diteruskan walaupun bot dinaiki kami terbalik," ujar Presiden MCM, Zulkifli Wahijan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika sukarelawan MCM mahu menghantar bantuan makanan termasuk paket beras kepada penduduk Taman Perumahan Mentakab Indah Lanchang, Pahang, yang ditenggelami banjir.

"Berdasarkan maklumat lebih 300 kediaman di kawasan itu ditenggelami banjir sedalam hampir dua meter sejak bencana melanda Ahad minggu lalu.

"Menyedari kesukaran dihadapi penduduk di kawasan itu, sukarelawan MCM melakukan penghantaran pek makanan menggunakan bot sejak awal pagi Khamis lalu," katanya.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 6 petang semalam, salah sebuah bot digunakan untuk mengangkut pek makanan kering ke lokasi bencana terbalik ketika melalui arus deras.

"Sebahagian dari berpuluh pek makanan antaranya berisi beras gagal diselamatkan. Bagaimanapun usaha menyalurkan bantuan ini tetap diteruskan hingga kini," katanya.

Zulkifli berkata, khidmat masyarakat dan bantuan hasil sumbangan dermawan tempatan itu turut disalurkan kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang.

Menurutnya, konvoi bantuan MCM itu membabitkan 33 kenderaan pacuan empat roda dan empat bot selain disertai 100 sukarelawan.

"Sekitar 1000 keluarga mangsa banjir menerima manfaat daripada sumbangan bernilai lebih RM50,000 ini. InsyaAllah misi bantuan banjir oleh MCM ini akan diteruskan ke Jerantut, Benta, Kuala Lipis dan Kemaman, Terengganu," katanya.

Beliau berkata, konvoi besar-besaran ini adalah lanjutan daripada misi bantuan mangsa banjir MCM yang digerakkan sejak pertengahan Disember lalu apabila banjir mula melanda Johor dan Perak.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan dan bantuan di akaun MCM di 564490413882 (Maybank), 14014010147170 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 8:37 AM