Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyumbang RM100,000 bagi meringankan beban ahli Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) yang terkesan akibat banjir, bulan lalu.

Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) menyampaikan sumbangan untuk mangsa banjir kepada wakil Sekretariat Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) Mohd Hafizullah Muda (kanan) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) menyampaikan sumbangan untuk mangsa banjir kepada wakil Sekretariat Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) Mohd Hafizullah Muda (kanan) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan kewangan itu dijangka boleh dimanfaatkan sehingga 200 keluarga.

Beliau berkata, sumbangan itu diserahkan melalui Sekretariat Perantau yang akan mengenalpasti dan mengagihkan kepada mangsa di Lembah Klang serta Pahang.

"Mengikut maklumat diterima setakat ini, Perantau sudah mengenalpasti 200 keluarga yang terjejas di Lembah Klang dan Pahang.

"Jadi kami sasarkan setiap keluarga menerima RM500 dengan seberapa segera dan bantuan ini mungkin akan dipanjangkan kepada anak Terengganu di negeri lain yang dilanda banjir.

"Selain itu, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedang menyalurkan bantuan kepada perantau daripada kawasan masing-masing," katanya.

Wan Sukairi ditemui pada majlis simbolik penyerahan bantuan kerajaan negeri kepada wakil Perantau, Muhamad Hafizullah Muda di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain sumbangan kepada anak Terengganu di perantauan, kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sudah menghantar pelbagai bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Bantuan itu adalah tambahan daripada inisiatif Kerajaan Pusat kepada mangsa banjir mengikut kategori diumumkan sebelum ini.

"Kita harapkan sumbangan ini mampu meringankan beban mangsa banjir selain sebagai tanda prihatin dan berdoa agar musibah banjir itu tidak berlaku lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:29 PM