Baharom Bakar


Chukai: Kesukaran warga pendidik dan ahli keluarga pelajar terjejas teruk susulan banjir luar biasa di daerah Bentong, Pahang, mendapat simpati seluruh warga kerja dan guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu.

Atas dasar bersimpati dengan nasib dialami mangsa bencana itu, Majlis Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu mengerakkan misi kemanusiaan bantuan bencana banjir bagi meringankan bebanan guru dan ahli keluarga pelajar terjejas teruk akibat banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, misi bantuan bencana banjir hasil gabungan PPD di negeri ini akan memberi tumpuan membersih bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong, Pahang.

Beliau berkata, bantuan wang tunai hasil kutipan derma kilat daripada seluruh warga pendidik dan PPD akan diagihkan kepada 381 mangsa termasuk guru di SMK Bentong, yang terkesan berikutan bencana itu.

"Kami berjaya mengumpul sumbangan wang tunai RM80,000 untuk membantu meringankan bebanan warga pendidik dan ahli keluarga pelajar di SMK Bentong.

"Misi kemanusiaan diketuai PPD Kemaman, Idris Bidin bersama 200 warga pendidik akan berkampung di SMK Bentong selama dua hari mulai hari ini untuk melakukan kerja pembersihan bangunan sekolah dan menyampaikan bantuan," katanya selepas merasmikan majlis pelepasan konvoi misi bantuan bencana banjir anjuran Majlis PPD negeri di pekarangan PPD Kemaman, di sini, hari ini.

SALIM (lima kanan) ketika berucap pada majlis pelepasan konvoi misi bantuan bencana banjir anjuran majlis PPD negeri, hari ini. FOTO Baharom Bakar
SALIM (lima kanan) ketika berucap pada majlis pelepasan konvoi misi bantuan bencana banjir anjuran majlis PPD negeri, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Turut menyertai konvoi kemanusiaan bencana banjir adalah Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) negeri, Mohamad Ropaat Khamis.

Salim berkata, selain bantuan wang tunai, turut akan disumbangkan kepada ahli keluarga pelajar dan warga pendidik di SMK Bentong, adalah bakul makanan dan barangan keperluan dapur berjumlah RM16,000.

Katanya, pemilihan SMK Bentong untuk misi bantuan bencana banjir dilakukan selepas tinjauan dilakukan mendapati SMK Bentong antara sekolah paling teruk ditenggelami lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:28 PM