SULAIMAN menampal pelekat misi bantuan banjir di kenderaan peserta konvoi. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN menampal pelekat misi bantuan banjir di kenderaan peserta konvoi. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Seramai 40 sukarelawan yang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka bertolak ke Pahang bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Kumpulan itu membabitkan 14 kenderaan termasuk lori yang membawa pelbagai barangan makanan serta keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir bertolak dari Melaka kira-kira jam 8 pagi tadi untuk menuju ke Maran, Pahang.

Majlis pelepasan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di kediaman rasminya di Seri Bendahara, di sini.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman yang juga ketua misi bantuan terbabit.

Sulaiman berkata, bantuan terbabit akan disalurkan terus di pusat pengumpulan bantuan banjir di Dewan Jubli Perak, Maran sebelum kerajaan Pahang mengagihkan kepada mangsa banjir.

Katanya, beliau berterima kasih kepada kerajaan Pahang yang memberikan kerjasama dalam menjadikan misi bantuan berjalan lancar.

"Saya harap barangan itu dapat diagihkan sebaik mungkin kepada mangsa banjir kerana difahamkan ada kalangan mereka yang masih belum menerima bantuan selepas kediaman dan mata pencarian terjejas akibat bencana itu.

"Justeru, saya yakin kerajaan Pahang dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, sekali gus meringankan beban mangsa," katanya.

Sulaiman turut mengulangi peringatan tegas kepada peserta misi untuk mengutamakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, meskipun Melaka berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua petugas sukarelawan yang menyertai misi bantuan itu disahkan bebas Covid-19 selepas menjalani ujian calitan dan ujian sama akan dilakukan ke atas mereka selepas pulang semula ke Melaka, petang ini.

"Saya harap peserta yang bergerak ke sana dapat sampaikan barangan keperluan dan selesaikan seterusnya pulang ke negeri ini dalam keadaan selamat.

"Dalam tempoh Ordinan Darurat dan PKP ini, saya harap semua sukarelawan dapat mematuhi segala SOP dengan setiap kenderaan hanya dinaiki dua sukarelawan seperti ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 1:24 PM