Antara kaedah utama untuk mengawal penularan virus ini termasuk pembasmian tempat pembiakan nyamuk Aedes. - FOTO Hiasan
Antara kaedah utama untuk mengawal penularan virus ini termasuk pembasmian tempat pembiakan nyamuk Aedes. - FOTO Hiasan
Mohammad Asyraf Khalib

PANDEMIK Covid-19 di Malaysia belum menampakkan penghujungnya. Walaupun kes positif mula mencatatkan penurunan, ia masih berada pada tahap membimbangkan.

Namun, dalam keresahan kita berperang dengan Covid-19, jangan sesekali lupa masih ada satu lagi ancaman virus yang sangat merbahaya iaitu denggi. 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), belum ada rawatan khusus atau vaksin yang sesuai untuk merawat dan mencegah virus itu. 

Justeru, tiada alasan untuk mengabaikan denggi, sebaliknya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengelakkan diri dan keluarga daripada terkena demam denggi. 

Demam denggi 

Demam denggi adalah penyakit virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Terdapat empat serotip virus denggi (DENV) yang berbeza iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4.

Sebaik saja seseorang dijangkiti salah satu serotip, badan mereka akan menghasilkan imuniti terhadap serotip itu sahaja sepanjang hayat. 

Namun, perlu diingat, imuniti terhadap satu serotip tidak menghalang individu terbabit mendapat jangkitan untuk kali kedua atau seterusnya dengan serotip berbeza.

Lebih membimbangkan, jangkitan kali kedua berisiko menyebabkan pesakit menderita demam denggi yang lebih teruk.

Cara jangkitan

Image

Denggi menular kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti daripada pesakit yang mempunyai virus itu.

Penularan virus daripada manusia kepada nyamuk boleh berlaku dua hari sebelum seseorang menunjukkan gejala penyakit sehingga dua hari selepas hilang demam. 

Sebilangan besar darah pesakit mengandungi virus selama empat hingga lima hari, manakala nyamuk yang dijangkiti denggi mampu menyebarkan virus itu sepanjang hayatnya. 

Justeru, sekiranya anda menghidap demam denggi, elakkan diri daripada digigit nyamuk terutama pada minggu pertama penyakit. 

Ini kerana, anda mungkin menyebarkan virus denggi kepada nyamuk baru yang belum dijangkiti sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Gejala

Image

Gejala demam denggi biasanya berlarutan selama dua hingga tujuh hari dengan tempoh inkubasi antara empat hingga sepuluh hari. 

Ia dapat dikesan apabila pesakit mula mendapat demam tinggi, sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, loya, muntah, bengkak kelenjar atau ruam.

Pesakit dapat dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa demam, fasa kritikal dan fasa pemulihan. 

Fasa kritikal adalah fasa yang perlu diperhatikan kerana demam mula menurun di bawah 38 darjah Celcius dan tanda amaran yang menunjukkan denggi semakin teruk akan muncul. 

Antara tanda amaran yang perlu diperhatikan ialah sakit perut, kerap muntah, cirit-birit berterusan, sesak nafas, perdarahan, keletihan atau kegelisahan. 

Denggi yang teruk berpotensi membawa maut disebabkan kebocoran plasma, pengumpulan cairan, gangguan pernafasan, pendarahan teruk atau gangguan organ.

Diagnosis dan rawatan

Image

Hanya satu cara untuk mengesahkan demam denggi iaitu dengan menjalani ujian darah. Oleh itu, segera berjumpa doktor sekiranya anda mempunyai gejala ringan. 

Diagnosis awal penting bagi mengurangkan risiko komplikasi sekali gus mengelakkan penyebaran virus lebih serius.

Sehingga kini, belum ada rawatan khusus atau vaksin yang sesuai untuk mencegah dan merawat demam denggi. 

Sepanjang tempoh dijangkiti virus, penting untuk pesakit minum sebanyak dua hingga tiga liter sehari. 

Pesakit juga perlu merekodkan jumlah urin yang keluar dan kekerapan membuang air besar termasuk memantau warna najis sama ada berwarna hitam atau mengandungi darah. 

Hapus Aedes, cegah denggi

Image

Memahami kepentingan mendidik masyarakat mengenai bahaya denggi, jenama racun makhluk perosak pilihan Malaysia, Shieldtox, menyeru orang ramai terutama mereka yang berada di kawasan hotspot denggi mengambil langkah segera untuk menghapuskan aedes.

Walaupun kini negara sedang bergelut dengan Covid-19, ia bukan alasan untuk kita mengabaikan usaha pencegahan denggi kerana kealpaan itu boleh memberi ancaman kesihatan awam berganda kepada negara.

Antara kaedah utama untuk mengawal penularan virus ini adalah dengan memerangi vektor nyamuk Aedes termasuk pembasmian tempat pembiakan nyamuk dan perlindungan daripada gigitan. 

Selain itu, orang ramai disaran menggunakan penghalau nyamuk, memakai pakaian berwarna terang, baju berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah, memasang skrin serangga di pintu dan tingkap, penggunaan kelambu atau penggunaan racun serangga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:50 PM