Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga dengan varian baharu Covid-19, Omicron yang  lebih cepat menular. - FOTO Hiasan
Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga dengan varian baharu Covid-19, Omicron yang lebih cepat menular. - FOTO Hiasan
Mohammad Asyraf Khalib

SELEPAS dua tahun menderita akibat pandemik Covid-19, kebimbangan masyarakat terhadap virus itu semakin pudar apabila program vaksinasi yang dilaksanakan secara global memberi sinar baharu buat semua. 

Namun, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada November 2021 mengumumkan kemunculan varian baharu iaitu Omicron yang dikatakan lebih cepat menular. 

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga termasuk mengambil tahu mengenai gejala Omicron dan langkah untuk mengawal penyakit.

Gejala utama Omicron

Image

Setakat ini, sebahagian besar kajian Covid-19 merekodkan Omicron adalah varian yang agak ringan dengan simptom yang kurang iaitu gejala awalnya hanya terhad pada bahagian tekak dan hidung serta tidak mengganggu paru-paru seperti dialami pesakit varian Delta.

Bagaimanapun, gejala ringan Omicron secara tidak langsung memberi ancaman dan cabaran berganda kerana simptom utama yang dilaporkan agak mengelirukan serta hampir sama dengan gejala demam atau selsema biasa. 

Berdasarkan kajian menerusi aplikasi ZOE COVID pada Disember 2021, antara lima gejala utama Omicron yang kerap direkodkan ialah hidung berair, sakit kepala, keletihan, bersin dan sakit tekak.

Data yang dikumpul daripada aplikasi itu juga menunjukkan gejala terbabit muncul dalam tempoh 48 jam selepas seseorang itu dijangkiti virus.

Selain itu, kajian menerusi aplikasi berkenaan turut menunjukkan enam daripada 10 pesakit yang dijangkiti Omicron dilaporkan mengalami sakit tekak membabitkan 50 peratus pesakit berusia antara 18 hingga 65 tahun. 

Mengambil kira kekangan untuk mengenal pasti simptom jangkitan Omicron, orang ramai disarankan untuk mengesahkan penyakit dengan menjalani ujian Kit Antigen Pantas (RTK) atau ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR atau PCR) serta mengikut semua garis panduan kesihatan.

Kaedah mengawal gejala

Image

Walaupun gejala Omicron kurang membimbangkan, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana varian itu kekal menjadi varian yang paling mudah dan pantas menular dalam masyarakat. 

Justeru, sekiranya anda mengalami mana-mana simptom yang berkaitan, adalah lebih baik segera mengasingkan diri dan menjalani ujian Covid-19.

Sepanjang tempoh kuarantin, anda disarankan untuk minum lebih banyak air dengan mengutamakan minuman panas bagi memastikan badan sentiasa terhidrat dengan baik. 

Paling penting, pastikan anda menyimpan bekalan ubat-ubatan asas seperti ubat demam, selsema dan lozeng sakit tekak di rumah sebagai persediaan awal sekiranya perlu menjalani kuarantin. 

Anda juga disaran untuk mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi ketika membeli ubat sakit tekak seperti lozeng, semburan atau kumur yang berkesan bagi melegakan keradangan tekak.

Setelah itu, pastikan anda mengambil ubat mengikut arahan yang tertera pada label atau seperti disarankan ahli farmasi berkenaan.

Jika sakit tekak semakin teruk dan berlanjutan selama empat hingga lima hari, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat serta rawatan lanjut.

Selain ubat-ubatan, peranti pemantauan kesihatan seperti termometer bagi memeriksa suhu badan dan oksimeter untuk mengesan nadi juga perlu berada dalam senarai barang keperluan ketika kuarantin.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung, pernafasan, penyakit buah pinggang atau mempunyai risiko lain seperti obesiti, anda dinasihatkan untuk menghubungi doktor dengan segera.

Cara mengelak jangkitan

Image

Menderita penyakit Covid-19 sudah tentu menjadi mimpi ngeri bagi semua orang. Justeru, langkah pencegahan awal bagi mengelak jangkitan adalah lebih perlu diutamakan. 

Langkah paling utama adalah dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di tempat awam serta kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman.

Anda juga disaran memakai sarung tangan ketika hendak menyentuh permukaan yang berisiko terdedah kepada virus, mengamalkan penjarakan fizikal serta memastikan pengudaraan yang baik sepanjang masa. 

Sementara itu, meningkatkan imuniti diri dengan mendapatkan tidur yang cukup serta mengamalkan pemakanan sihat juga akan membantu tubuh membina benteng pertahanan kuat bagi mengelak sebarang jangkitan.

Bagi meningkatkan perlindungan diri dan keluarga, anda digalakkan mendapatkan suntikan vaksin lengkap termasuk mengambil dos penggalak sebaik sahaja disyorkan sekiranya belum melakukannya.

Jika anda bimbang atau ragu-ragu dengan gejala yang dialami, segera berhubung dengan doktor atau penasihat perubatan anda. 

Artikel ini ditaja oleh iNova Pharmaceuticals.

Image

Rujukan:

  1. Business Insider, 8 Januari 2022, Artikel Evidence of The Changing Nature of Covid-19 Symptoms
  2. ZOE, 7 Februari 2022, Artikel What Are The Symptoms of Omicron?
  3. Irish Mirror, 30 November 2021, Artikel Is Sore Throat A Symptom of Covid-19?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 8:58 AM