Diagnosis awal denggi penting bagi mengurangkan risiko komplikasi sekali gus mengelakkan penyebaran virus lebih serius - FOTO Hiasan.
Diagnosis awal denggi penting bagi mengurangkan risiko komplikasi sekali gus mengelakkan penyebaran virus lebih serius - FOTO Hiasan.
Mohammad Asyraf Khalib

PANDEMIK yang melanda negara sejak awal tahun lalu belum menunjukkan sebarang tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat. 

Dengan kemunculan varian baharu yang lebih bahaya, Covid-19 dijangka terus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Namun, dalam kebimbangan kita berdepan Covid-19, jangan sesekali leka dengan virus denggi yang sudah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

Apatah lagi, tahun ini kes denggi di Malaysia mencatatkan peningkatan yang agak ketara berbanding tahun lalu.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), secara kumulatif negara merekodkan 12,942 kes denggi sehingga kini, berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama pada 2021. 

Kenali Covid-19, denggi

Menurut Perunding Pernafasan dan Pakar Perubatan, Prince Court Medical Centre, Dr Hilmi Lockman, pada awalnya, Covid-19 dianggap sebagai penyakit pernafasan. 

Namun, menerusi beberapa kajian serta penerbitan terkini, ia turut dikaitkan dengan penyakit vaskular. Denggi pula adalah penyakit demam bawaan nyamuk yang boleh berlaku dengan gejala atau tanpa gejala.

Kaedah penyebaran kedua-dua penyakit ini berbeza kerana Covid-19 menjangkiti manusia melalui titisan pernafasan ketika mereka batuk, bersin, ketawa atau bercakap, manakala denggi tersebar menerusi gigitan nyamuk Aedes betina yang dijangkiti.  

Gejala hampir sama

Image

Pada peringkat awal jangkitan, virus denggi dan Covid-19 boleh mengakibatkan gejala yang serupa seperti demam, dan kelesuan. 

Bagaimanapun, menerusi pemantauan lebih teliti, denggi dan Covid-19 dapat dibezakan dengan mengenal pasti beberapa gejala utama.

Bagi denggi, gejala paling biasa adalah seseorang itu akan mengalami demam antara dua hingga tujuh hari disertai dengan mana-mana gejala berikut: 

  • Lenguh-lenguh dan kesakitan (sakit mata biasanya di belakang mata, sakit otot, sendi atau tulang)
  • Loya 
  • Muntah-muntah
  • Ruam
  • Sakit abdomen  

Individu yang dijangkiti Covid-19 pula dilaporkan mengalami pelbagai gejala yang merangkumi kesakitan ringan hingga teruk seperti: 

  • Demam atau sejuk
  • Batuk
  • Sesak nafas atau kesukaran bernafas
  • Kelesuan
  • Sakit otot dan badan
  • Sakit kepala
  • Hilang deria rasa atau bau yang baru
  • Sakit tekak
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Muntah-muntah atau loya
  • Cirit-birit

Sementara itu, Dr Hilmi turut mengingatkan orang ramai supaya waspada dengan tanda amaran denggi tahap kritikal bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk.

Antara tanda amaran yang perlu diperhatikan ialah sakit perut, kerap muntah, cirit-birit berterusan, sesak nafas, perdarahan, keletihan atau kegelisahan. 

Rawatan denggi

Image

Sehingga kini, belum ada rawatan atau vaksin khusus untuk denggi. Namun, ini tidak bermakna pesakit denggi hanya perlu berdiam diri menahan sakit tanpa mengambil sebarang ubat-ubatan.

Menurut Dr Hilmi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan pengambilan Paracetamol untuk merawat gejala denggi seperti demam, dan sakit otot 

"Dua pil 500 miligram (mg) Paracetamol terbukti berkesan memberi kelegaan kepada orang dewasa. 

"Anda boleh mengambil satu atau dua pil 500mg Paracetamol setiap empat hingga enam jam, tetapi tidak lebih daripada lapan pil 500mg Paracetamol sehari," katanya.

Sementara itu, Dr Hilmi turut berkongsi kaedah rawatan lain yang boleh dilakukan pesakit ketika berada di rumah. 

Antaranya, pesakit perlu mendapatkan rehat yang cukup, meletakkan pad penyejuk atau kain lembap pada kulit bagi mengurangkan demam. 

Selain itu, pesakit juga diingatkan untuk kekal hidrat dengan minum lebih banyak air dan minuman isotonik yang mengandungi elektrolit.

Sebagai alternatif untuk mengelakkan gigitan nyamuk, pesakit disaran menggunakan penyembur nyamuk atau berehat di dalam kelambu pada waktu siang. 

Cegah sebelum terlambat

Walaupun wabak denggi di Malaysia biasanya terjadi mengikut musim, penting untuk orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri dan keluarga daripada denggi. 

Antara kaedah utama untuk mengawal penularan virus itu adalah dengan memerangi vektor nyamuk Aedes termasuk membasmi tempat pembiakan nyamuk seperti membuang tin kosong dengan air bertakung, menukar air dalam bekas tadahan pasu serta memastikan saliran air dan longkang tidak tersumbat. 

Selain itu, orang ramai juga disaran menggunakan penghalau nyamuk, memakai pakaian berwarna terang, baju berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah.

Memasang skrin serangga di pintu dan tingkap, penggunaan kelambu atau penggunaan racun serangga juga antara alternatif yang baik untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.

Paling penting, sekiranya anda mengalami demam atau mengesyaki bahawa anda menghidap denggi atau Covid-19, kunjungi klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 12:00 PM