Rakyat perlu menanam sifat sayangkan negara dan mengikis sikap ego terhadap barangan buatan Malaysia. - FOTO Bernama
Rakyat perlu menanam sifat sayangkan negara dan mengikis sikap ego terhadap barangan buatan Malaysia. - FOTO Bernama
Mohammad Asyraf Khalib

TAK kenal maka tak cinta, ini antara analogi yang sesuai dengan stigma segelintir rakyat di negara ini yang masih memandang rendah produk buatan Malaysia.

Walaupun negara sudah mengecapi pelbagai kejayaan dan kemajuan yang cukup membanggakan, namun masih terlihat tidak molek jika produk keluaran tempatan terus dipandang sepi di tanah air sendiri. 

Lebih menghairankan, produk buatan Malaysia yang dieksport ke luar negara sebaliknya mendapat permintaan tinggi dan menjadi rebutan 'orang luar'. 

Jadi, di mana silapnya dan apakah yang bermain dalam pemikiran rakyat mengenai standard dan kualiti produk Malaysia?

1. Tidak berkualiti

ImageFOTO Berita Harian

Tanggapan salah yang paling popular sering dikaitkan dengan produk tempatan ialah 'tidak berkualiti'. Namun, persepsi ini hanyalah sekadar cakap kosong sesetengah pihak sahaja. 

Hakikatnya, tidak ada satu pun produk tempatan yang dihasilkan mengikut piawaian dan mendapat pensijilan kualiti di Malaysia dilapor mengecewakan pengguna. 

Sebaliknya, kebanyakan aduan yang direkodkan adalah akibat pengguna tersalah beli barangan tiruan atau cetak rompak yang dikatakan produk tempatan.

Maka tidak adil jika hanya kerana tidak berpuas hati dengan kualiti produk palsu, tempias buruk tersebut turut terkena produk tempatan yang lain.

ImageFOTO Harian Metro

Sebagai pengguna bijak, rakyat di negara ini wajib ambil tahu mengenai prosedur dan sistem pengurusan kualiti yang sentiasa dipantau oleh kerajaan. 

Antara tips penting, pilihlah barangan yang mempunyai label pensijilan kualiti seperti SIRIM, MeSTI, Halal JAKIM dan banyak lagi. 

2. Murah dan berkelas rendah

Mungkin terdengar tidak masuk akal, namun hakikatnya masih ramai yang enggan membeli produk lokal hanya kerana ada sesetengah barang ditawarkan pada harga murah. 

Salah satu alasan yang sering kedengaran, murah maka ia berkelas rendah. 

Umum mengetahui bahawa harga sesuatu produk yang ditawarkan adalah bergantung kepada kos bahan mentah, penghasilan, pengangkutan, cukai dan banyak lagi.

Justeru, ia sudah tentu mempengaruhi harga barangan yang dipasarkan dalam negara dan pastinya jauh lebih berpatutan. 

Jangan pandang rendah kerana sebenarnya kita ada banyak jenama yang setanding produk terkemuka. 

ImageFOTO Tatler Malaysia

Misalnya, jenama BONIA yang terkenal dengan barangan fesyen berasaskan kulit. BONIA sebenarnya diasaskan oleh anak Malaysia Chiang Sang Sem pada tahun 1994. 

Kini BONIA menjadi pilihan golongan yang mementingkan fesyen mewah dan berjenama bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia. BONIA Corporation Berhad memiliki lebih 700 outlet kedai dan 70 butik di seluruh benua Asia. 

3. Tidak terkenal

Selain harga murah dikaitkan dengan barangan kelas bawahan, ada juga pendapat yang mengatakan produk tempatan kurang menjadi pilihan kerana ia tidak setaraf dan secantik jenama antarabangsa. 

Pandangan sebegini sudah tentu salah. Sebenarnya produk tempatan tidak kurang hebatnya. Malah, sudah banyak jenama Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa kerana terkenal dengan rekaannya yang memukau seperti jenama kasut Christy Ng. 

ImageFOTO MyTown KL

Tidak kurang, ada juga segelintir rakyat yang salah faham dan menyangka produk tempatan adalah produk import. Mungkin kerana nama jenama yang digunakan lebih komersial, jadi ramai menganggap jenama-jenama ini produk luar negara.

Contohnya produk kerusi urut Ogawa yang selalu dianggap produk buatan Jepun, hakikatnya ia adalah buatan tempatan. 

'Virus' yang perlu dihapus

ImageFOTO Firdaus Latif, Malay Mail

Sebagai renungan, sampai bila kita hendak biarkan produk tempatan menjadi produk sampingan atau pilihan kedua rakyat Malaysia?

Jika semua persepsi salah ini tidak diubah daripada sekarang, maka jangan terkejut andai generasi akan datang lebih parah memperlekehkan produk kebanggaan negara. 

Malah tidak mustahil ia boleh menjadi 'virus' bahaya yang boleh membunuh industri dan ekonomi tanah air dalam diam. 

Selepas ini, jika ada pihak yang mengatakan rugi jika membeli produk tempatan, maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk ubah persepsi sebegitu. 

Beri sokongan untuk negara

Sebagai rakyat Malaysia, sokongan anda amat diperlukan untuk memastikan pengeluar dan pengusaha tempatan tidak terus berada ditakuk lama. 

Dengan menyokong produk tempatan, peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menambah mutu produk dan perkhidmatan dapat dilaksanakan. 

Selain itu, setiap perbelanjaan rakyat juga dapat membantu memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing.

Image

Walaupun pergerakan agak terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini bukanlah alasan untuk berhenti membeli produk lokal kerana ia turut dipasarkan secara dalam talian.

E-dagang telah membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan produk antarabangsa. 

Selari dengan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tahun ini, marilah kita membeli dan menyokong produk tempatan.

Tanpa komitmen dan sokongan penuh daripada rakyat Malaysia, sudah tentu sukar untuk mengangkat martabat produk tempatan apatah lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:45 AM