MOHAMMAD Nazman (dua dari kanan) bersama tiga adiknya menjaga ibunya yang hanya mampu terbaring di atas katil selepas kakinya patah selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
MOHAMMAD Nazman (dua dari kanan) bersama tiga adiknya menjaga ibunya yang hanya mampu terbaring di atas katil selepas kakinya patah selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Tampin: Bukan mudah membuat keputusan berhenti kerja dan balik ke kampung selepas bapanya terlantar akibat barah usus sejak setahun lalu.

Keadaan menjadi lebih parah apabila ibunya turut terlantar akibat kemalangan di Gemencheh, di sini, 17 Oktober lalu selepas kereta dinaiki berlanggar dengan sebuah lori yang meragut nyawa kakak sulungnya.

Pemuda ini Mohammad Nazman Noorhisham, 22, berkata, dia terpaksa mengambil keputusan drastik balik ke kampung di Felda Bukit Jalor, di sini, bagi menjaga kedua ibu bapanya.

Menurutnya, selepas kehilangan kakak, Nur Athirah Noorhisham, 25, yang terbabit kemalangan, hanya dia diharapkan dapat menjaga bapanya Noorhisham Hashim, 56, dan ibunya Normadiah Mohammad Ali Yasin, 50.

"Ibu dan ayah terlantar, kakak sulung baru sahaja meninggal dunia, saya perlu balik menjaga mereka.

"Bagi saya tiada pengorbanan yang lebih penting selain menjaga kedua ibu bapa ketika adik masih lagi bersekolah lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan katil boleh laras sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di Felda Bukit Jalor.

Menurutnya, dia tiada masa memikirkan tentang masa depan dan berharap agar adiknya dapat meneruskan pelajaran setinggi yang boleh.

Katanya, tiga adiknya, Nur Farisya, 19, Nur Haznida, 16, dan Nur Jannah, 7, masih belajar dan memerlukan perbelanjaan.

"Kami hanya bergantung dengan wang pinjaman bulanan daripada Felda sebanyak RM1,160 sebulan dan dengan wang inilah kami berjimat bagi membeli susu ayah, lampin pakai buang juga keperluan makan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perkasih N9, Ahmad Zahri Raob berkata, pihaknya berusaha bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka boleh terus hubungi Nazman di talian 017-6149528.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:02 PM