Tamin Sudin (duduk kerusi roda)  ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Jalor, Tampin. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Tamin Sudin (duduk kerusi roda) ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Jalor, Tampin. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


TAMPIN: Kenangan menjadi anggota tentera suatu masa dahulu pastinya ianya adalah saat yang cukup indah untuk dikenang biarpun ketika itu di bawah pemerintahan orang kulit putih (British).

Menurut Tamin Sudin, 91, berkata, dia adalah bekas anggota tentera British yang ditugaskan di Pasir Panjang, Singapura.

"Saya masuk tentera British diusia remaja, 20 tahun pada tahun 1950 dan berhenti pada 1966 selepas kerajaan Singapura ketika itu sudah bertukar pemerintahan dan dalam masa yang sama kita juga sudah merdeka.

"Bagi saya ia satu kenangan yang terindah kerana sempat menjadi perajurit negara ketika di zaman pemerintahan British biarpun bertugas di Singapura," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Jalor di sini semalam.

Katanya, dua tahun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera British, saya diterima menjadi peneroka di Felda Bukit Jalor, Tampin.

"Walaupun usia saya sudah semakin hampir di penghujung dan menghidap penyakit angin ahmar sejak 30 tahun lalu, namun semangat saya demi negara tercinta tidak pernah luntur sehingga kini.

"Setiap orang yang mahu tahu sejarah bagaimana kami dulu berjuang bersama British mempertahankan tanahair akan bertanyakan kepada kami berkenaan Bekas Veteran Tentera British, saya sudi menceritakan kerana ia sudah menjadi sejarah," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan berupa kerusi roda daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya semalam.

Tamin berkata, hidupnya kini hanya bergantung kepada dua anaknya yang setia menjaganya selepas isterinya meninggal dunia tujuh tahun lalu.

"Saya diserang penyakit angin ahmar sejak hampir 30 tahun lalu dan sejak itu tidak mampu bergerak jauh hanya menggunakan kerusi roda yang sudah uzur.

"Terima kasih kepada penyumbang kerusi roda ini dan juga NGO, PERKASIH N9 kerana sanggup berkorban masa menjengok saya di sini dan paling seronok mereka mendengar cerita zaman ketika saya bergelar tentera British satu ketika dahulu," katanya.

Menurut Tamin, dia hanya bergantung kepada Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan sejak 18 tahun lalu.

"Dengan duit inilah saya gunakan untuk membeli keperluan dapur dan selebihnya dibantu anak, Zainal Tamin, 58, dan Kamariah Tamin, 50, yang menjaga saya.

"Mungkin kerana saya dulu berkhidmat dengan tentera British dan bukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), maka saya tidak layak mendapat bantuan lain sebagai bekas perajurit tanahair," katanya sayu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PERKASIH N9, Vira Hashim berkata, pihaknya ada melawat sebulan lalu dengan membawa barangan makanan asas selepas mendapat tahu beliau perlukan bantuan.

"Sebaik ditemui, bekas perajurit negara ini merayu agar pihak kami dapat menyumbang kerusi roda kerana yang dia sedang guna ini sudah terlalu uzur dan sering rosak.

"Kami di PERKASIH N9 juga mengalu-alukan orang ramai yang mahu menyumbang boleh terus menghubungi kami bagi membantu golongan yang memerlukan dengan melayari kami di laman Facebook PerkasihN9 untuk keterangan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:32 PM