NORFADILAH Mansor (kanan) ketika melawat dan memberikan sumbangan kepada Zuraida Shariman. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
NORFADILAH Mansor (kanan) ketika melawat dan memberikan sumbangan kepada Zuraida Shariman. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Bahau: "Saya pasrah dengan ujian ini," kata seorang ibu tunggal, Zuraida Shariman, 47, yang kini hanya terlantar akibat kanser payudara tahap empat yang dihidapinya di rumah di Taman Penarikan di sini.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga santan di Taman Puan Chik, namun terpaksa dihentikan selepas disahkan menghidap kanser awal tahun lalu.

"Kini saya bergantung kepada anak kedua Nur Atiqah Aliah Mohd Shahril, 22, dan Nur Eleesa Mohd Shahril, 18, yang masih tinggal bersama saya. Nur Atiqah bekerja di restoran makanan segera di Kuala Pilah manakala Nur Elessa bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seminggu lagi.

"Dengan pendapatan Nur Atiqah hanya RM1,000 sebulan yang membayar sewa rumah RM500 dan dan belanja dapur. Bukan itu sahaja, dia perlu membayar banyak lagi termasuk menyara adiknya.

"Saya mula terlantar sejak bulan Jun tahun lalu namun kasihan juga melihat Nur Eleesa kerana di rumah dia sibuk uruskan saya dan dalam masa sama kena belajar, saya harap dia berjaya nanti," katanya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya petang semalam.

Zuraida berkata, dia terpaksa tinggal di rumah seorang diri apabila anaknya masing-masing keluar bekerja dan ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, Bahau..

"Sebelum ini anak sulung juga ada menjaga saya namun kini dia perlu pulang ke rumahnya di Gemas kerana mempunyai keluarga sendiri.

"Saya juga masih bernasib baik kerana adik beradik rajin datang menjengok malah banyak membantu bagi meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, setakat ini dia sudah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan dan dia bergantung kepada lampin pakai buang yang perlu dibeli

"Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif yang menyumbang katil boleh laras yang amat membantu kerana saya tak boleh bangun sendiri," katanya.

Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sempat melawat dan memberikan sumbangan wang tunai kepada ibu tunggal ini ketika melawatnya semalam.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka sekeluarga boleh terus ke akaun RHB 15506500053750 atas nama Zuraida Shariman atau menghubunginya ditalian 019-3660878.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 12:09 PM